Majlis Anugerah Projek Tahun Akhir Pelajar FKA Sebak

Majlis Anugerah Projek Tahun Akhir Pelajar FKA

Pada 11 Julai 2019, satu Majlis Anugerah Projek Tahun Akhir (FYP) di Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Majlis ini telah diadakan selama empat tahun berturut-turut.

Pensyarah FKA, Encik Mohd Amizan Mohamed @ Ariffin selaku koordinator FYP berkata, beliau melihat keceriaan terpapar di wajah pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan tersebut. Ini kerana setiap pelajar yang menyertai pertandingan itu akan membawa pulang wang tunai RM100 selain sijil penghargaan. Selain itu, beliau menyifatkan majlis anugerah ini adalah satu usaha untuk mengalakkan pelajar untuk melakukan projek tahun akhir yang berkualiti dan berimpak tinggi dengan bantuan penyelia mereka.

Tiga (3) kategori anugerah dipertandingkan pada majlis tersebut iaitu: Anugerah Thesis Terbaik, Anugerah Pembentangan Terbaik dan Potential Industry Research Award. Penilaian bagi anugerah kategori ketiga adalah berdasarkan penilaian daripada panel industri.

Majlis Anugerah Projek Tahun Akhir (FYP) kali ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Hubungan Industri dan Alumni) FKA, iaitu Prof. Dr. Hamidah Mohd Saman. Di dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan bahawa objektif utama Majlis Anugerah FYP adalah untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai kemampuan menyelesaian masalah, terutama masalah berkenaan kejuruteraan awam.

Beliau juga menekankan bahawa pihak pengurusan FKA memandang serius isu kualiti projek tahun akhir dan sentiasa mengambil langkah-langkah yang berterusan dalam memastikan kualiti projek yang dihasilkan adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Antara langkah-langkah itu adalah memastikan para pelajar merekodkan perbincangan bersama penyelia masing-masing di dalam logbook. Selain itu, pihak FKA juga memastikan para penyelia memantau kemajuan projek dan kekerapan pelajar mereka berjumpa untuk perbincangan. Menggalakkan para pelajar untuk menggunakan sistem online yang disediakan pihak Perpustakaan UiTM dalam mendapatkan sumber maklumat berkenaan projek yang mereka lakukan. Akhir sekali, mulai semester depan para pelajar perlu menyediakan satu laporan teknikal (technical paper) selain tesis untuk dihantar ke persidangan atau jurnal yang sesuai untuk penerbitan.

Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu UiTM Dihatiku. Para pelajar berasa sebak semasa menyanyikan lagu tersebut kerana ia memberi kesan yang mendalam kepada diri mereka. Sesungguhnya, telah banyak jasa UiTM kepada mereka sepanjang pengajian mereka di sini.

Disini Dekan bersama unit Korporat FKA ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penyelia dan pelajar-pelajar yang menerima Anugerah Projek Tahun Akhir (FYP) FKA 2019. Tidak lupa juga ucapan tahniah dan terima kasih kepada ahli jawatankuasa majlis tersebut kerana telah berjaya melaksanakannya dengan jayanya.

1
0