UiTM Kampus Puncak Alam, 18 April 2024 – Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan Sesi 2023/2024 telah menganjurkan Majlis Anugerah Dekan Sesi Oktober 2023 – Februari 2024 pada peringkat fakulti. Majlis ini dijalankan dengan objektif untuk memberikan penghargaan kepada para pelajar atas usaha dan kerja keras mereka dalam mencapai keputusan yang cemerlang pada semester yang lepas. Acara ini diadakan setiap semester dengan tujuan untuk memberi semangat kepada mahasiswa supaya sentiasa bermotivasi dan berusaha lebih gigih dalam mengejar kejayaan akademik demi membanggakan insan-insan tersayang. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berintelektual, sejajar dengan matlamat Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam mencapai kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.
Seramai 25 orang ahli jawatankuasa program dan 1074 orang penerima anugerah telah terlibat dalam menjayakan program ini. Majlis Anugerah Dekan Sesi Oktober 2023 – Februari 2024 ini telah dijalankan secara atas talian melalui platform YouTube Media FSK UiTM. Majlis ini berlangsung dari jam 1.15 petang sehingga 3.45 petang dan turut dihadiri oleh tetamu kehormat dari Fakulti Sains Kesihatan, iaitu Dekan dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar. Acara ini dimeriahkan oleh kehadiran para pelajar Fakulti Sains Kesihatan, serta sokongan daripada ibu bapa dan orang awam. Pelbagai ucapan tahniah dan syabas telah dilontarkan di ruangan komen YouTube Live, menambah lagi keceriaan dan semangat kepada para pelajar yang diiktiraf pada hari tersebut.
Keseluruhan majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian akademik para pelajar, tetapi juga untuk memupuk semangat kesepaduan dan saling menghargai antara satu sama lain dalam komuniti fakulti. Dengan adanya majlis seperti ini, diharapkan para pelajar akan terus berusaha keras dalam bidang akademik dan seterusnya menyumbang kepada kejayaan dan reputasi cemerlang Universiti Teknologi MARA di masa hadapan. Program ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan tetapi juga sebagai dorongan berterusan untuk para pelajar meningkatkan prestasi mereka di masa akan datang.