Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan (FSK)

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, 27 Disember 2021: Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam dengan Kerjasama LENSA Fakulti Sains Kesihatan Kampus Puncak Alam Sesi 2020/2021 dan Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam Sesi 2020/2021 telah menjalankan program Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan buat kali yang kedua secara maya bagi Sesi 2020/2021 di platform Facebook Live Fakulti Sains Kesihatan. Program ini bermula pada 1.30 petang sehingga 4.20 petang dan disertai oleh 1805 orang Penerima Anugerah Dekan bagi Semester Mac hingga Ogos 2021.

Objektif utama program ini dijalankan adalah untuk meraikan kejayaan mahasiswa yang mendapat pencapaian akademik yang cemerlang. Selain itu, sebagai tanda penghargaan fakulti atas kecemerlangan mahasiswa dalam pembelajaran. Melalui Majlis Anugerah Dekan ini juga diharapkan dapat menjadi pemangkin bagi mahasiswa lain untuk meningkatkan prestasi akademik dalam semester mendatang.

Penerima Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan bagi Semester Mac hingga Ogos 2021 terdiri daripada lapan program pengajian Sarjana Muda dan satu program pengajian Diploma di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam dan lima program pengajian Diploma di UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam. Penerima Anugerah dekan ini merupakan mahasiswa yang mendapat GPA 3.5 ke atas pada Semester Mac hingga Ogos 2021.

Melalui program ini juga, pihak Fakulti dapat mengiktiraf pencapaian mahasiswa sekaligus membakar semangat komuniti mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan sekaligus menyatupadukan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan dalam mencapai prestasi tertinggi dalam akademik.

Oleh itu, program seperti ini diharapkan dapat diadakan lagi pada masa akan datang agar lebih ramai mahasiswa mencapai keputusan yang cemerlang dan bersemangat dalam pembelajaran seterusnya dapat merealisasikan cita-cita dan membanggakan nama institusi, bangsa dan negara.