Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan 2021

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, 1 Julai 2021: Program Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan 2021 anjuran Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK), merupakan program yang julung kali diadakan secara atas talian bagi meraikan kejayaan pelajar dalam pencapaian akademik. Selain itu juga, objektif program ini adalah untuk menjadi pemangkin bagi lain untuk meningkatkan prestasi akademik dalam semester mendatang. Seramai 1274 orang mahasiswa daripada 8 program yang berbeza telah diraikan atas pencapaian akademik mereka pada semester sesi Oktober 2020 hingga Februari 2021.

Program Majlis Anugerah Dekan ini diadakan bagi melahirkan tanda penghargaan daripada fakulti kepada mahasiswa yang mencapai keputusan akademik yang cemerlang iaitu GPA 3.5 ke atas. Namun, disebabkan pandemik COVID-19, Majlis Anugerah Dekan ini tidak dapat dilakukan secara fizikal di kampus di atas kekangan yang berlaku. Perkara ini bukanlah sebuah penghalang bagi menzahirkan penghargaan fakulti kepada para pelajar cemerlang ini. Oleh itu, program ini merupakan salah satu alternatif persatuan SMF FSK untuk tetap menjalankan program sebegini, yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

Pengumuman penerima anugerah dekan bagi setiap program di Fakulti Sains Kesihatan terbahagi kepada dua sidang. Sidang pertama terdiri daripada penerima anugerah dekan daripada program Sarjana Muda Kejururawatan, Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan, Diploma dan Sarjana Muda Pengimejan Perubatan dan Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran. Sidang 2 pula diteruskan dengan pengumuman penerima anugerah dekan bagi program Sarjana Muda Fisioterapi, Sarjana Muda Pemulihan Cara Kerja, Sarjana Muda Optometri dan diakhiri dengan penerima anugerah dekan daripada program Sarjana Muda Dietetik.

Sebelum pengumuman penerima anugerah dekan dijalankan, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Profesor Dr. Zulkhairi Hj Amom telah menyampaikan ucapannya terlebih dahulu bagi memberi penghargaan kepada semua pihak yang berkait seperti ahli jawatankuasa program serta para hadirin yang sudi meluangkan masa bersama-sama meraikan penerima anugerah dekan ini. Beliau mengatakan bahawa kejayaan yang dicapai oleh para penerima anugerah dekan adalah bukan sesuatu yang mudah dicapai terutama mereka yang menjalani sesi kuliah di rumah dek kerana komitmen yang perlu di bahagikan secara sama rata iaitu sebagai seorang pelajar dan juga seorang anak. Namun, beliau mengingatkan bahawa sikap tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan bagi setiap perkara bak kata pepatah, “hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”.

Pengumuman penerima anugerah dekan bagi setiap program didahului dengan ucapan Ketua Pusat Pengajian bagi program masing-masing. Secara amnya, setiap Ketua Pusat Pengajian mengucapkan ribuan tahniah kepada penerima-penerima anugerah dekan bagi program mereka. Penerima anugerah dekan bagi Sarjana Muda Kejururawatan (Kepujian) adalah seramai 186 orang manakala bagi Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan (Kepujian) pula seramai 150 orang. Jumlah penerima anugerah dekan bagi Program Pengimejan Perubatan adalah seramai 117 orang di mana 34 daripadanya adalah daripada Diploma Pengimejan Perubatan dan bakinya seramai 83 orang adalah daripada Sarjana Muda Pengimejan Perubatan (Kepujian). Terdapat seramai 248 orang penerima anugerah dekan daripada Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran (Kepujian). Seterusnya, terdapat 152 orang penerima anugerah dekan daripada Sarjana Muda Fisioterapi (Kepujian) manakala 156 orang daripada Sarjana Muda Pemulihan Cara Kerja (Kepujian). Akhir sekali, Sarjana Muda Optometri (Kepujian) mempunyai 79 orang penerima anugerah dekan manakala Sarjana Muda Dietetik (Kepujian) pula mempunyai seramai 186 orang penerima anugerah dekan.

Secara umumnya, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan telah berlangsung dengan jayanya. Para peserta telah memberi maklumbalas yang positif dan berharap program seperti ini akan dianjurkan lagi pada masa hadapan.