: Mahasiswa UiTM Shah Alam Menerapkan Kesedaran Keselamatan Siber kepada Komuniti Kampung Budiman

KLANG, 21 Disember 2024 – Program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran kursus yang melibatkan pelajar universiti berinteraksi dengan komuniti. Program SULAM pada tahun ini, memberi peluang kepada pelajar tahun akhir daripada program Sarjana Muda Pengkomputeran Netsentrik (CDCS251) dan Sarjana Muda Pengkomputeran Multimedia (CDCS253), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal kepada komuniti remaja sekolah Kampung Budiman, Meru, Klang, Selangor.

Arus teknologi yang pesat membangun turut memberikan impak kepada komuniti remaja sekolah antaranya isu keselamatan siber dikalangan remaja pada masa kini yang amat membimbangkan. Justeru itu, usaha meningkatkan kesedaran keselamatan siber dikalangan remaja perlu dilaksanakan. Inisiatif program Sulam@Budiman: Cybersecurity Awareness yang dianjurkan oleh mahasiswa KPPIM, UiTM Shah Alam dibawah bimbingan pensyarah Puan Zatul Amilah Shaffiei, dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Budiman, amat bertepatan dengan isu yang diutarakan. Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Mohd Nizam Yunus, Dekan Hal Ehwal Pelajar KPPIM. Turut hadir memberikan sokongan padu adalah Tuan Hassan Bin Idris, Penghulu Mukim Bukit Raja serta Tuan Imran bin Kairon, Ketua Kampung Kampung Budiman.

Program Sulam@Budiman: Cybersecurity Awareness ini dijalankan di KAFA Integrasi Imam Al-Ghazali, Kg. Budiman yang melibatkan 41 orang remaja sekolah. Taklimat khas berkaitan kesedaran keselamatan siber telah disampaikan oleh pelajar KPPIM. Taklimat ini melibatkan tiga modul menarik bertajuk Buli Siber, Eksploitasi Seks dan Phishing. Taklimat khas diakhiri dengan sesi soal-jawab bersama remaja sekolah yang mendapat respon sangat baik daripada mereka.

Aktiviti Explorace yang diserikan dengan aktiviti Checkpoint seperti Family FeudPhish Out the Clues, Telephone Game dan Empathy Box turut diadakan. Pengisian berbentuk interaktif membantu remaja mengenalpasti taktik pemangsa yang berniat melakukan buli siber, eksploitasi seks dan ancaman phishing kepada mereka. Rata-rata peserta telah memberikan respon positif terhadap aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Program Sulam@Budiman: Cybersecurity Awareness ini sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari Keempat dan Kesebelas, iaitu Pendidikan Berkualiti dan Bandar dan Komuniti Lestari, seterusnya selaras dengan visi Malaysia Madani.

Penulis: Muhamad Amir Abqari Zulkifeli, Farid Syahmi Kamaruddin, Nur Fatin Nabilah Mohamad Termizi, Zatul Amilah Shaffiei

(Editor: Afdallyna Fathiyah Harun & KPPIM News Team)