Mahasiswa UiTM Shah Alam anjur program A Day With Us dengan kerjasama SMK Munshi Abdullah

Antara pelajar SMK Munshi Abdullah beserta Kamaruzzaman, Dian Azrin, Mohamad Irfan bergambar bersama fasilitator dan pensyarah Kelab Pengurusan Kekeluargaan Islam II.

SABAK BERNAM- Mahasiswa kokurikulum Pengurusan Kekeluargaan Islam II daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah berkolaborasi dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Sabak Bernam bagi melaksanakan program A Day With Us di persekitaran sekolah tersebut.

Peserta program ini terdiri daripada 40 orang pelajar asrama sekolah tersebut dan 23 orang fasilitator daripada Kelab Pengurusan Kekeluargaan Islam II sendiri, serta guru pengiring iaitu Mohamad Irfan Mohd Hilmi dan Dian Azrin Abd Rahim yang turut bersama menjayakan program ini.

Program ini dibahagikan kepada tiga modul iaitu modul kepimpinan, modul komunikasi dan modul kerjasama. Ketiga-tiga modul ini telah dirancang dengan teliti oleh fasilitator agar dapat memberi manfaat kepada para pelajar. Modul-modul yang dijalankan merangkumi setiap aspek seperti aspek kerohanian, aspek kepimpinan, serta aspek kerjasama.

Pelaksanaan program ini mampu memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman baharu bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan.

Pelajar SMK Munshi Abdullah sedang menyanyikan lagu tema program A Day With Us bertajuk gelombang keadilan.

Mereka berpeluang mempelajari cara melaksanakan tugasan secara intelektual dan bersedia mengatasi segala permasalahan yang dihadapi dengan kritis dan kreatif untuk memastikan program yang dilaksanakan berjalan dengan lancar.

Modul pertama bertemakan kepimpinan, aktiviti-akitiviti yang dijalankan dalam modul ini adalah ‘Ice Breaking’, ‘Good Parent, Precious Children’, dan ‘Cinta Syurga Selamanya’.

Semasa aktiviti ‘Cinta Syurga Selamanya’ pelajar-pelajar dipecahkan mengikut kumpulan dan diminta untuk melukis gambar dan harapan kepada ibu bapa mereka.

Mereka seterusnya dikehendaki untuk membaca harapan yang telah ditulis dihadapan ahli kumpulan, pelajar yang lain dan juga fasilitator.

Kemudian, fasilitator meminta seorang pelajar yang ingin berkongsi tampil ke pentas untuk bercerita tentang apa yang ditulis secara sukarela.

Hal ini dapat melatih mereka untuk berani tampil ke hadapan dan menunjukkan bahawa mereka berani dan mampu membimbing rakan-rakan sepasukannya yang lain.

Pelajar sedang melakukan aktiviti explorace di kawasan sekolah diiringi fasilitator.

Modul kedua diisi dengan aktiviti-aktiviti yang berkonsepkan komunikasi yang terdapat tiga aktiviti yang telah dijalankan iaitu ‘Radio Islam’, ‘Syukuri Nikmat Allah’ dan juga ‘Sahabat sampai Syurga’ untuk mengalakkan pelajar supaya lebih yakin dan berani dalam berkomunikasi kerana setiap aktiviti memerlukan mereka untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Melalui aktiviti ‘Radio Islam’, para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka dikehendaki membuat satu barisan.

Pelajar yang berada di barisan paling hadapan perlu mendengar ayat-ayat yang diberitahu oleh fasilitator dan mereka hendaklah menghafalnya dalam masa tiga minit’ lalu menyampaikannya kepada ahli kumpulan yang berada di belakang mereka dengan dalam keadaan mulut yang dipenuhi oleh ‘marshmallow, sehinggalah pelajar yang berada di barisan paling belakang menulis kembali ayat tersebut di atas kertas yang telah disediakan.

Aktiviti ini memerlukan para pelajar untuk memberikan fokus yang tinggi agar mereka dapat mengetahui apakah yang diberitahu oleh rakan mereka.

Melalui aktiviti ini, pelajar telah memberikan komitmen yang tinggi apabila setiap ahli kumpulan apabila mereka berusaha untuk memberitahu ayat itu supaya rakan mereka dapat mendengarnya dengan jelas.

Modul ketiga pula diisi dengan aktiviti explorace, para pelajar yang dipimpin oleh fasilitator masing-masing perlu menyelesaikan semua checkpoint yang telah disusun bermula dari chekpoint pertama sehinggalah ke checkpoint ketiga untuk menamatkan perlumbaan ini.

Bermula di checkpoint pertama, pelajar diberikan sehelai kertas yang mengandungi ‘crossword puzzle’ yang kosong dan mereka dikehendaki untuk mengisi ruangan kosong tersebut berdasarkan soalan yang telah disediakan oleh pihak kami.

Soalan-soalan tersebut berkaitan dengan perkara yang diajar dalam Islam seperti puasa dan pernikahan.

Setelah menyelesaikan soalan tersebut mereka perlu bergerak ke checkpoint kedua yang bertemakan ‘Kenali Tokoh Saya’.

Di sini, setiap kumpulan diberikan satu kertas yang mengandungi nama tokoh-tokoh Islam seperti Khulafa Al-Rasyidin dan para sahabat Nabi.

Mereka dikehendaki berfikir dan menulis sumbangan dan semua ciri-ciri penting tokoh-tokoh Islam tersebut pada ruang yang telah diberikan dan kumpulan yang terpantas dan mendapat jawapan yang betul akan bergerak ke checkpoint yang terakhir.

Di checkpoint terakhir menggunakan tema ‘Mantapkan Akidah Saya!’ yang mana memerlukan para pelajar untuk menyelesaikan lima aktiviti.

Pelajar bergerak mengikut kumpulan dengan arahan ketua, mereka dikehendaki untuk mencari satu belon agar membolehkan mereka bergerak ke tempat yang seterusnya.

Aktiviti pertama, mereka haruslah menunjukkan cara solat dengan betul iaitu dengan melaksanakan 13 rukun solat dengan tertib serta dikehendaki untuk menukarkan tulisan rumi kepada jawi.

Bagi aktiviti ketiga ini, pelajar-pelajar perlu menunjukkan cara bertayamum dan menjawab beberapa soalan berkaitan dengan tayamum.

Keempat, mereka juga disuruh untuk menyenaraikan adab-adab yang diterap dan diajar dalam Islam dan yang terakhir, para pelajar perlulah menyerahkan kertas petunjuk mereka dimana markah paling tinggi akan dikira sebagai pemenang.

Melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan dalam modul ketiga, pelajar dilihat dapat memberikan kerjasama yang tinggi di mana mereka saling berganding bahu dalam menyelesaikan kesemua checkpoint tersebut.

Program ini telah dirasmikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Kamaruzzaman Ahmad. Menurut Kamaruzzaman, program ini penting untuk menerapkan sikap kerjasama antara pelajar serta dapat membantu pelajar meningkatkan lagi keyakinan diri masing-masing.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak UiTM kerana telah memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Sabak Bernam kerana menjalankan program A Day With Us ini,” katanya.

Pihak fasilitator berharap agar program uce dan perkongsian ilmu ini berupaya memberikan impak positif terhadap kemahiran insaniah pelajar, secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan pelajar sekali gus mendorong mereka untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Oleh: Adriana Razak
Sumber: https://kampusuols.com/article/428967/U-In-News/SEL-KL/Mahasiswa-UiTM-Shah-Alam-anjur-program-A-Day-With-Us-dengan-kerjasama-SMK-Munshi-Abdullah

0
0