Mahasiswa UiTM Anjur “Smart Library, Smart Generation” di Kampung Budiman

KAMPUNG BUDIMAN, 14 Disember 2024 – Mahasiwa Pengajian Pengurusan Perpustakaan dari Kolej PengajianPengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana, telah menganjurkan program “Smart Library, Smart Generation” di Pusat Sumber Kampung Budiman. Program yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan inovasi telah menyaksikan penyertaan hampir 30 orang kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun.

Antara aktiviti menarik yang dianjurkan ialah sesi “Pengenalan Perpustakaan”, di mana peserta diberi pendedahan tentang pelbagai sudut perpustakaan dan jenis bahan bacaan yang tersedia. Aktiviti ini turut disertai sesi kreatif di mana peserta menghasilkan penanda buku. Dalam aktiviti “Library Mission”, peserta diajak untuk mengkategorian perkataan mengikut bahagian perpustakaan, serta menguji kefahaman peserta mengenai fungsi dan peralatan perpustakaan.

Satu lagi aktiviti interaktif adalah “Maju! Berhenti! Dan Lakukannya!” yang menggunakan papan permainan gergasi untuk menguji pengetahuan umum peserta. Selain itu, peserta diperkenalkan kepada buku interaktif yang disumbangkan oleh UiTM, menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan.

Aktiviti lain termasuk “Smart Reading”, di mana peserta membaca di hadapan juri untuk meningkatkan kelancaran bacaan mereka, serta aktiviti mewarna yang memberi peluang kepada peserta untuk menonjolkan kreativiti masing-masing.Aktiviti terakhir, “Radio Rosak”, menekankan kemahiran komunikasi dan kerjasama, di mana peserta menyampaikan mesej secara berbisik dalam kumpulan.

Rata-rata peserta meluahkan perasaan teruja menyertai pelbagai aktiviti. Salah seorang peserta berkongsi, “Saya sangat gembira dapat belajar sambil bermain!” Ibu bapa juga memberikan reaksi positif, dengan menyatakan bahawa anak-anak mereka tidak sabar untuk menyertai program ini. Seorang ibu menyatakan, “Anak saya telah menyatakan keterujaan untukmenyertai aktiviti-aktiviti program ini sejak beberapa hari yang lepas.”

Program ini turut disertai oleh Dr. Nor Zaina Zaharah Binti Mohamad Ariff selaku pensyarah pembimbing. Dengan objektif menyemai minat membaca dan ilmu dalam kalangan generasi muda Kampung Budiman, program ini diharapkan menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif yang memupuk budaya membaca dan inovasi dalam komuniti.

Penulis bersama: Amelia Suhaila Isha, Nurin Firzanah Mohd Burhanuddin, Jennelle Aiyana Jameri, Elvia Nelda Eng Kiam

Editor: Afdallyna Harun & KPPIM News Team