Canning Vale, Perth – Seramai 12 orang pelajar dan tiga orang pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor telah menyertai program sukarelawan antarabangsa di Iqra Academy, Canning Vale, Perth. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Association of Environmental Health (MAEH).
Aktiviti utama program ini adalah membersihkan bangunan lama yang digunakan sebagai tempat solat dan pengajian agama oleh kanak-kanak di Iqra Academy. Aktiviti ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif. Selain itu, aktiviti mewarna batik bersama kanak-kanak juga telah dilaksanakan dan mendapat sambutan baik. Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara para peserta dan kanak-kanak, tetapi juga memperkenalkan seni batik sebagai warisan budaya Malaysia.
Pengarah program, Siti Fatimah Az-Zahra’ binti Shahrul Aman, menyatakan kepuasan terhadap pencapaian program ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. “Program ini bukan sahaja memberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat, tetapi juga membentuk bakat kepimpinan, melatih kemahiran komunikasi, dan memperluaskan pengalaman pelajar melalui interaksi budaya yang bermakna,” ujarnya lagi.
Pensyarah kanan, Megat Azman Megat Mokhtar, turut berkongsi pandangannya, “Program bertaraf antarabangsa ini telah membuka ruang pembelajaran dan pengalaman yang sangat berharga kepada para pelajar dalam berhubung, merancang, dan melaksanakan program bersama organisasi luar negara. Berdasarkan pelaksanaan program ini, saya yakin pelajar kita mampu memikul tanggungjawab serta melaksanakan amanah walaupun di luar negara.”
Menurut Setiausaha Kehormat MAEH, Rudiaswady Abdul Rahim, program sebegini mampu meningkatkan keyakinan dan keupayaan pelajar Kesihatan Persekitaran dari Malaysia dalam berurusan dengan masyarakat antarabangsa, memartabatkan mereka di mata dunia, memupuk hubungan dua hala serta nilai budaya, dan memberikan peluang bertukar pandangan, ilmu, serta pengalaman kolaborasi dengan organisasi dan komuniti antarabangsa.
Pusat Pengajian mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Fakulti Sains Kesihatan atas sokongan dan peruntukan yang diberikan, serta kepada pihak Iqra Academy kerana menyediakan makanan dan membenarkan pelaksanaan program ini di sana. Diharapkan program sukarelawan seperti ini dapat diteruskan untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti komuniti dan amalan mampan, sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan global.