Pulau Pinang, 28 Disember 2023- Mahasiswa Pendidikan Biologi Semester 5, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang bagi memenuhi sebahagian keperluan kursus Methods of Teaching Science (SCE550) bermula 28 Disember hingga 30 Disember 2023. Objektif lawatan sambil belajar diadakan adalah bagi memberi peluang dan pendedahan kepada mahasiswa dalam mengendalikan seminar berasaskan pendekatan “Teaching Science by using Fieldtrip, Fieldwork and Project” yang mampu diaplikasikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di luar bilik kuliah. Seramai 31 orang mahasiswa terlibat dan turut serta seorang pensyarah pengiring, Encik Mohamad Hisyam Ismail bagi memastikan objektif lawatan tercapai.
Bagi memenuhi objektif tersebut, beberapa aktiviti dirangka termasuklah aktiviti di Penang Hill, eksplorasi diversiti di Taman Negara Pulau Pinang dan Team Building di Escape Penang. Semasa menjalankan aktiviti di Penang Hill, mahasiswa sempat beramah mesra bersama pelancong dari dalam dan luar negara. Memegang teguh prinsip masa itu emas, mahasiswa tidak membuang masa dengan mengambil peluang bagi mempelajari tentang tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang hidup di Pulau Pinang. Melalui aktiviti tersebut, mahasiswa dapat mengaplikasikan salah satu nilai ESI i-DART iaitu ilmu, dimana pengetahuan tentang kebenaran yang diperolehi menerusi pembelajaran formal atau tidak formal bagi pemahaman, penghayatan dan perkongsian untuk meningkatkan martabat diri dan manfaat bersama.
Eksplorasi diversiti di Taman Negara Pulau Pinang membawa mahasiswa berjalan kira-kira 3.6 kilometer seawal jam 8:30 pagi untuk tiba ke Pantai Kerachut. Sedikit pengenalan dikendalikan oleh pekerja di sana tentang Taman Negara Pulau Pinang termasuk Rumah Api, Tasik Meromiktik, Pusat Konservasi Penyu dan Teluk Duyung (Monkey Beach) sebelum memasuki trek. Dalam perjalanan, mahasiswa melalui sebuah tasik unik iaitu Tasik Meromiktik. Meromiktik membawa maksud dua lapisan air iaitu air laut dan air sungai yang tidak bercampur antara satu sama lain. Menurut sumber daripada Jabatan Perhilitan, tasik yang berkeluasan 2.77 kilometer ini dikatakan unik kerana mempunyai dua lapisan air yang berbeza suhu dan ketumpatan. Tasik tersebut mampu membekalkan air ke 2500 buah rumah jika penuh.
Seterusnya, aktiviti pembinaan pasukan (team building) di Escape Penang pada hari terakhir lawatan. Aktiviti ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk memperkasa elemen pendidikan STEM yang dipelajari. Sebagai contoh, bagi membangunkan taman tema dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang pastinya elemen STEM perlu diterapkan selain memastikan tempat tersebut mampu menawarkan lebih 30 aktiviti menarik. Justeru, salah satu nilai ESI i-DART iaitu sinergi dapat diterapkan dalam diri mahasiswa sebagai satu pasukan dalam membudayakan kebersamaan dan keterangkuman yang harmoni dan produktif bagi mencapai hasil berkualiti yang bermanfaat dan berimpak tinggi.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pengarah Program, Saudara Muhammad Daniel Haquimy Mohd Imran serta kesemua ahli jawatankuasa program atas komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung. Diharapkan mahasiswa dapat memanifestasikan penerapan teknik 4C iaitu Communicate, Communication, Collaboration and Creativity sejajar dengan objektif lawatan ini dilaksanakan dalam membudayakan pendidikan STEM melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam mahupun luar bilik kuliah.