Mahasiswa FSG jadi Sukarelawan Untuk “Kids Parade 2019” Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Selangor

“Kids Parade 2019” Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Selangor

Lapan orang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dari Fakulti Sains Gunaan (FSG)  yang baru sahaja mendaftar pada awal bulan September 2019 menjadi sukarelawan untuk “Kids Parade 2019” sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Selangor yang telah diadakan pada 11 September 2019 di Stadium Malawati Shah Alam.

“Kids Parade 2019” adalah anjuran Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS) dengan kerjasama PERTIM dan PETA yang bertemakan “Saya Anak Malaysia”. Tujuan utama program ini adalah untuk memupuk semangat patriotik dikalangan kanak-kanak seawal usia 4 tahun.

Acara kemuncak program adalah formasi Jalur Gemilang yang dilakukan oleh semua kanak-kanak tadika yang hadir. Seramai 2000 orang kanak-kanak tadika di seluruh Selangor telah menyertai program ini yang telah dirasmikan oleh isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, iaitu Puan Masdiana Muhammad.

8 orang mahasiswa UiTM Shah Alam dari Fakulti Sains Gunaan

Seminggu sebelum program berlangsung, pihak MPTS telah menghubungi Prof. Madya Dr. Karimah Kassim (Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam) mengenai khidmat sukarelawan dan pihak fakulti telah bersetuju untuk menghantar sukarelawan dari Fakulti Sains Gunaan bagi membantu perlaksanaan program tersebut.

Yang lebih membanggakan lagi sukarelawan adalah dari kalangan mahasiswa baharu. Ianya dapat memupuk semangat sukarelawan di kalangan mahasiswa agar mereka sentiasa bersiap sedia untuk membantu masyarakat sekeliling jika diperlukan kelak.

Oleh: Mohd Sufri Mastuli, Koordinator HEP, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

0
0