Mahasiswa Fakulti Sains Gunaan UiTM Shah Alam ajak masyarakat berinovasi dengan sisa makanan yang terbuang

Mahasiswa Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, iaitu Persatuan Teknologi Makanan (PERTEMA) telah menganjurkan program inovasi bersama masyarakat yang dinamakan sebagai “International Camp of Food Rescue – i.CFOR 2019” dengan tema “Taste of Waste Innovation” di Dungun, Terengganu pada 22 – 25 Ogos 2019.

Tujuan utama program ini adalah untuk berkongsi ilmu dan idea kreatif dengan masyarakat mengenai bidang sains dan teknologi makanan yang dipelajari oleh mahasiswa-mahasiswa dari Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains Makanan dan Teknologi.

Mereka telah mengajar Persatuan Kebajikan Ibu dan Ibu Tunggal Terengganu cara menghasilkan produk-produk makanan baru dari sisa makanan yang terbuang.

Dua bengkel proses penghasilan produk makanan iaitu “Fruity Verse” dan “Sea-Licious” telah dijalankan serentak. Contohnya, semasa bengkel “Fruity Verse”, para pengunjung diajar cara membuat “Rind Ruby” (jeli kulit tembikai) dan “Swicy Saucy” (sos nenas).

Untuk makluman, “Rind Ruby” merupakan produk inovasi makanan baru yang menggunakan bahagian putih kulit tembikai yang dibuang. Ianya telah diproses menjadi jeli mempunyai tekstur yang lembut seperti geletin di bahagian luar dan rangup di bahagian tengah.

Rind Ruby” ini boleh dihidangkan bersama minuman dan memberikan pengalaman yang sama seperti meminum air bersama “Boba” atau “cocktail”. Produk-produk makanan lain yang diinovasikan dari isi ikan dan tulangnya seperti “Breakfast Cereal” dan “Fish Pasta” juga diajar semasa bengkel “Sea-Licious”.

Ilmu pengetahuan dalam berinovasi dengan sisa makanan terbuang juga turut dikongsikan dengan mahasiswa-mahasiswa lain dari UiTM Kuala Pilah, UiTM Puncak Alam, UniKL MICET dan juga mahasiswa antarabangsa dari Universitas Neheri Semarang (UNNES), Indonesia. Sekaligus, ianya dapat memanfaatkan sisa makanan yang terbuang, mengelakkan pembaziran makanan dan melahirkan masyarakat yang berinovasi.

Program i.CFOR 2019 yang berlangsung selama empat hari telah dirasmikan oleh Yang Mulia Dr. Raja Razuan Raja Deris selaku Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam pada malam 24 Ogos 2019.

Kejayaan program ini juga adalah hasil kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej (JPK) Kolej Redang, Kelab Program Siswa Sihat (PROSIS) dan Jawatankuasa Perwakilan Non-Resident (JPNR) dari UiTM Dungun.

Majlis perasmian iaitu Malam Bersama Bintang turut diserikan dengan penampilan khas kumpulan nasyid AL-MANNA yang telah membuat persembahan nyanyian dan perkongsian ilmu agama. Kumpulan nasyid AL-MANNA juga menjadi penaja bagi program i.CFOR 2019 ini.

Selain itu, aktiviti khidmat masyarakat seperti menaikkan 1000 bendera Malaysia yang disumbangkan oleh Dewan Bandaraya Cheras juga diadakan di dua buah kampung terpilih iaitu Kampung Sura Tengah dan Kampung Sura Melati bagi memeriahkan lagi suasana sempena menyambut bulan kemerdekaan pada tahun ini.

Akhir sekali, aktiviti seperti bersiar-siar di sekitar Dungun, Kuala Terengganu dan “team building” yang semestinya dapat merapatkan lagi ukhwah antara pihak penganjur, peserta dan masyarakat setempat turut dilakukan.

Majlis penutup pada 25 Ogos 2019 telah disempurnakan oleh Penasihat Program i.CFOR 2019 iaitu Dr. Siti Roha Binti Ab Mutalib dengan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta program dan cenderahati sebagai penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa penganjur i.CFOR 2019 yang diketuai oleh Muhammad Hail Haris Bin Muhammad Hakim (Presiden PERTEMA Sesi 2018/2019).

Pesanan ringkas daripada Dr. Siti Roha kepada semua peserta dan penganjur agar segala ilmu dan pengalaman yang dipelajari dari program i.CFOR 2019 dapat dikongsikan bersama mahasiswa dan masyarakat lain yang tidak berpeluang untuk menyertai program pada kali ini. Semoga program i.CFOR dapat dilaksanakan lagi pada masa akan dating dengan pengisian yang lebih baik, mantap dan padu.

Oleh: Mohd Sufri Mastuli, Koordinator Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Gunaan (FSG)

0
0