Mahasiswa Fakulti Farmasi UiTM Puncak Alam raikan anak-anak istimewa

Ahli Jawatankuasa penganjur PHPC 2019.

SAUJANA UTAMA – Fakulti Farmasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mengambil satu inisiatif untuk memberi peluang kepada mahasiswa menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk bertempat di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

Program Public Health Pharmacy Carnival (PHPC) hasil kerjasama bersama Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Saujana Utama yang bertemakan Healthy Bone Awareness. Seramai 169 mahasiswa semester enam dan para pensyarah Fakulti Farmasi telah bekerjasama bagi menjayakan program ini.

Program ini dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan ‘1 kilometer (km) Walk’ bersama-sama dengan anak-anak istimewa PPDK dan penduduk sekitar yang diiringi oleh mahasiswa Fakulti Farmasi.

Aktiviti ini bertujuan untuk menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di samping mengeratkan hubungan silaturahim.

Para pensyarah dan staf PPDK yang terlibat di dalam program PHPC 2019.

Seterusnya, ceramah bertajuk #WeAreAllAbleToLove telah disampaikan oleh Pakar Perubatan Keluarga, KKM, Dr. Salimah Othman. Ceramah ini yang dikhaskan untuk ibu bapa para pelajar PPDK dan juga orang awam bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai cara-cara yang terbaik dalam mengendalikan kanak-kanak istimewa.

Aktiviti-aktiviti lain yang menarik adalah persembahan istimewa oleh pelajar PPDK, booth pameran seperti pameran kesihatan oleh mahasiswa Fakulti Farmasi dan farmasi-farmasi luar, pameran ‘Kenali Ubat Anda’ oleh KKM, pemeriksaan kesihatan dan perundingan pemakanan, pemeriksaan gigi, pemeriksaan tulang, pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan mata telah disediakan secara percuma kepada masyarakat sekitar.

Selain itu, aktiviti Home Medication Review (HMR) juga telah diadakan di kawasan perumahan sekitar PPDK melibatkan 15 rumah yang disertai oleh ahli farmasi, para pensyarah dan mahasiwa Fakulti Farmasi.

Sebahagian AJK PHPC bersama-sama anak-anak PPDK.

Aktiviti ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat berkenaan cara penyimpanan ubat-ubatan, teknik penggunaan peralatan perubatan seperti inhaler dan pen insulin serta penggunaan alat pemeriksaan kendiri seperti alat pengukur tekanan darah dan alat pengukur glukosa dalam darah digital.

Pengarah Program PHPC 2019, Nur Almas Sharif berkata, program seperti ini penting untuk meningkatkan lagi kesedaran kesihatan dalam kalangan orang ramai.

“Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan dan lebih ramai penduduk sekitar hadir bagi mencapai matlamat program iaitu untuk memupuk masyarakat yang lebih cakna dengan isu-isu kesihatan,” katanya.

Turut terlibat adalah wakil PPDK, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta mahasiwa Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Pergigian UiTM.

Oleh: Robiyatul Adibah Mohd Rohimi
Sumber: https://kampusuols.com/article/429681/U-In-News/SEL-KL/Mahasiswa-Fakulti-Farmasi-UiTM-Puncak-Alam-raikan-anak-anak-istimewa

0
0