MAEH Urban Health Forum 2019 bincang Isu Kesihatan Persekitaran

LANGKAWI- Mahasiswa Sarjana Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Environmen Malaysia (MAEH) julung kali menganjurkan program MAEH Urban Health Forum 2019 (MUHF2019) di Hotel Langkasuka, Pulau Langkawi bermula pada 17 Jun dan 18 Jun 2019.

Tujuan forum ini diadakan bagi membuka ruang untuk membincangkan isu-isu kesihatan bandar yang semakin menjadi perhatian dan selari dengan proses perbandaran yang juga merupakan aspek penting dalam kesihatan persekitaran.

Perbincangan forum ini memfokuskan lima tema berkaitan isu kesihatan bandar yang menjadi isu pada masa kini iaitu masalah denggi di tapak binaan, adaptasi perubahan iklim terhadap kesihatan, pengurusan sisa pepejal, kebersihan dan keselamatan makanan jalanan, dan sifar rokok di kawasan bandar.

Menurut Penasihat Program, Dr Farah Ayuni Shafie, program ini adalah untuk mempertemukan pihak yang mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk mengenal pasti isu-isu kesihatan persekitaran yang boleh memberi impak kepada kesihatan komuniti bandar dan mencadangkan strategi bagi menanganinya.

Program ini berbentuk Focus Group Discussion (FGD) yang melibatkan panel pengamal kesihatan persekitaran daripada pelbagai agensi mengikut subkepakaran bidang. Jemputan panel adalah dari sektor awam, sektor swasta, badan bukan kerajaan, ahli akademik dan orang awam. Forum ini telah dirasmikan oleh Presiden Persatuan Kesihatan Environmen Malaysia (MAEH), Tee Eng Ong.

0
0