KLANG, 21 Disember 2024 – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM) UiTM Shah Alam telah menganjurkan Program Literasi Digital: Smart Business di Kampung Budiman, Meru, Klang, sebagai sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).
Program ini berjaya menarik 30 usahawan tempatan yang ingin mempelajari strategi perniagaan atas talian. Objektif utamanya adalah meningkatkan keyakinan dan kemahiran teknologi digital dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.
Peserta didedahkan dengan platform e-dagang seperti Shopee, WhatsApp Business, TikTok Shop, Facebook, dan Google Sites. Mereka dibahagikan kepada kumpulan pemula dan pertengahan, dilatih oleh Muhammad Adzmin bin Ahmad Daniel dan Nur Izzany binti Mohd Hasriry.
Salah seorang peserta, Encik Mohd Sharul Azwan, mengakui mendapat ilmu baharu tentang perniagaan atas talian, manakala Puan Syaza Errina berbesar hati dapat mempelajari cara mengembangkan perniagaan melalui platform digital.
Program yang dirasmikan oleh Prof. Madya Ts Dr Atiqah Sia Abdullah ini turut disaksikan oleh wakil kerajaan tempatan dan agensi pembangunan.
Inisiatif SULAM 2024 ini membuktikan keberkesanan dalam membantu usahawan memanfaatkan platform digital, sekaligus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan dalam pendidikan dan pembangunan komuniti mampan.
Penulis: Muhammad Hilmi Hashim, Dr Azhar Abd. Aziz, Wan Akmal
(Editor: Dr Afdallyna Harun, KPPIM News Team)