Limited Eid-ition Celebration

26 Mei 2022 – Program “Limited Eid-ition Celebration” telah berjaya dilaksanakan oleh Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang. Program ini sebenarnya merupakan majlis sambutan hari raya Aidilfitri oleh seluruh warga fakulti termasuklah para pensyarah dan mahasiswa diploma perakaunan di UiTM Cawangan Pahang.

Program tersebut berlangsung selama tiga jam bermula jam 4.00 petang sehingga 7.00 malam di Dewan Kolej Tun Teja. Tujuan jamuan ini diadakan adalah bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa, dan pada masa yang sama untuk memperkenalkan pensyarah-pensyarah serta pelajar dari Fakulti Perakaunan memandangkan semester Mac 2022-Ogos 2022 ini merupakan kali pertama pelajar Fakulti Perakaunan menjejakkan kaki ke UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka setelah sekian lama mengikuti sesi pembelajaran secara atas talian akibat penularan wabak Covid-19.

Program ini disertai oleh 11 orang pensyarah dari Fakulti Perakaunan, 2 orang dari Majlis Perwakilan Pelajar yang mewakili Fakulti Perakaunan dan 190 orang pelajar diploma perakaunan dari bahagian 2,4 dan 6. Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, Dr Mohamad Azmi bin Nias Ahmad telah merasmikan majlis sabutan hari raya peringkat fakulti ini, anjuran bersama Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA).

Majlis telah dikendali oleh dua orang pengacara dari kalangan pelajar bahagian 2 iaitu saudara Muhammad Qayyum Najmi bin Roslan dan saudari Farah ‘Aliah binti Faizon. Majlis juga berjalan dengan lancar dan dimeriahkan lagi dengan persembahan yang disajikan oleh pelajar seperti dendangan lagu raya dan alunan gitar. Pelajar yang terlibat ialah Megat Haikal Danial (bahagian 6), Fathullah Fahmi, Mohamad Zaki (bahagian 4) dan Mohamad Haidil Hariz (bahagian 2). Pelajar turut tidak kering gusi melihat telatah beberapa pensyarah yang tidak kekok melakukan persembahan nyanyian di hadapan semua tetamu pada majlis tersebut.

Ahli Jawatankuasa PERSIDA dengan kerjasama Dr Mohamad Azmi bin Nias Ahmad merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua pensyarah terutama Koordinator Fakulti Perakaunan, Puan Junaidah binti Jamaluddin, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Wan Izzul Hakim bin Wan Jamal Abdul Nasir dan para pelajar yang sama-sama turut membantu dalam menjayakan majlis ini.