LIBB Siri ke-48, tunaikan impian pelatih

LIBB Siri ke-48

SHAH ALAM – Seramai 95 pelajar kursus kokurikulum Kor Kesatria Brass Band telah menamatkan latihan intensif dengan bimbingan daripada jurulatih dan ahli Persatuan Pancaragam Kesatria UiTM Shah Alam (PERPAKES) pada 1 Februari lepas.

Latihan Intensif Brass Band (LIBB) Siri ke-48 yang berlangsung daripada 23 Januari hingga 1 Februari ini adalah program anjuran bersama Pusat Kokurikulum Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam dan Persatuan Pancaragam Kesatria UiTM Shah Alam (PERPAKES).

Latihan intensif ini telah mendedahkan pelatih dengan asas muzik dan kawad pancaragam dengan lebih mendalam sehingga mereka dapat bermain 15 buah lagu yang berbeza dengan menggunakan alat muzik brass band pada majlis penutupan.

LIBB Siri ke-48

Tema LIBB siri ke-48, Fantasy Chronology – A Whole New World merupakan kesinambungan tema LIBB Siri ke-47 yang lepas iaitu Fantasy Beyond Reality. Pada majlis tersebut, para pelatih telah mengalunkan lagu tema Aladdin, iaitu A Whole New World dan Speechless yang diketuai oleh Konduktor Muhammad Afiq Ikmal Roslan.

Majlis penutupan latihan intensif tersebut telah dirasmikan Sr. Nor Halil Ismail, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran bakal komander daripada Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) Siri ke-54.

Halil berkata latihan intensif kali ini seolah-olah mengadaptasikan watak dalam filem fantasi Aladdin yang menunaikan hajat seorang pemuda – tenaga pengajar yang terdiri daripada jurulatih dan ahli PERPAKES menunaikan impian para pelatih untuk bermain alat muzik.

Para pelatih yang merupakan mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai jurusan dan fakulti ini dilihat begitu teruja dan seronok kerana telah dapat memainkan lagu pada majlis penutupan sejak mereka menyertai latihan intensif ini tanpa asas muzik.

“Melalui latihan intensif ini, saya dapat belajar bermain alat muzik (tuba) kerana sebelum ini saya langsung tidak dapat bermain alat muzik ini, saya juga belajar untuk meniup mengikut not-not lagu atas bantuan tenaga pengajar sepanjang latihan intensif kali ini,” kata Wellter yang merupakan pelajar tahun satu Akademi Pengajian Bahasa UiTM Shah Alam.

LIBB Siri ke-48

Di samping itu, pelajar tahun satu Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam, Sylvender berkata bahawa beliau dapat menimba banyak ilmu muzik serta dapat membina kemahiran insaniah daripada segi nilai kerjasama dengan rakan-rakan melalui latihan intensif seperti ini.

LIBB kali ini telah mengangkat Muhammad Nur Shafiq Foo bin Mohd Sharif Foo dari section tuba sebagai Pelatih Siswa Terbaik Keseluruhan dan Intan Norsyafiqa binti Kamalbahrin dari section horn sebagai Pelatih Siswi Terbaik Keseluruhan.

LIBB Siri ke-48

Persatuan Pancaragam Kesatria UiTM Shah Alam (PERPAKES) terlibat secara aktif dalam program-program rasmi UiTM dan persatuan ini juga mewakili UiTM di pertandingan peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa.

Pada tahun 2019, PERPAKES telah mendapat pingat perak dalam Asia Junior Marching Band Championship (AJMBC) kategori full band dan colourguard. PERPAKES turut mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Percussion UiTM Se-Malaysia 2019 yang diadakan di UiTM Cawangan Selangor, Puncak Alam.

LIBB Siri ke-48