Legasi Debat – Kurang Upaya Bukan Penghalang Timba Ilmu

Legasi Debat - Kurang Upaya Bukan Penghalang Timba Ilmu

KLANG – Baru-baru ini telah dianjurkan sebuah program University Community Engagement (UCE) melibatkan 28 orang mahasiswa bersama seorang jurulatih Kokurikulum Debat Bahasa Melayu 2 (HPD 223B), Puan Hajah Noriza binti Hussin bertempat di Bengkel Daya Klang, Klang, Selangor.

Program UCE ini dianjurkan bertujuan memberi pendedahan asas kesukarelawanan kepada mahasiswa di samping membentuk sikap kempimpinan di dalam diri setiap mahasiswa yang terlibat. Bukan itu sahaja, program UCE ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada mahasiswa terlibat mengaplikasikan pembelajaran teori mereka kepada peserta yang terlibat.

Program ini telah mendapat kelulusan daripada pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan telah berlangsung dengan jayanya pada 30 November 2019 bersamaan hari Sabtu yang lalu. Pelbagai perkara telah dikongsikan kepada para peserta dan tidak kurang juga ilmu yang dipelajari oleh mahasiswa daripada para peserta.

Legasi Debat - Kurang Upaya Bukan Penghalang Timba Ilmu

Program yang diberi nama Legasi Debat: Merungkai Fakta, Tegaknya Hujah ini disertai seramai 33 orang Pekerja Kurang Upaya (PKU) yang rata-ratanya mempunyai masalah pembelajaran dan ada di antara mereka yang mempunyai kekurangan fizikal. Namun begitu, program ini dilihat memberi kesan positif kepada mahasiswa dan para peserta di mana kedua-duanya membentuk hubungan yang baik dan saling membantu di antara satu sama lain tanpa wujud sebarang kekangan yang tidak diingini.

Biarpun masalah pembelajaran dalam kalangan peserta merupakan isu yang bakal dipersoalkan dengan program yang dianjurkan ini, namun harus diketahui bahawa penerimaan mereka terhadap ilmu perdebatan ini adalah sangat memberangsangkan untuk kelompok yang mempunyai tahap pemikiran seperti mereka.

Hampir separuh daripada peserta yang mengikuti program ini mampu menyatakan dengan lancar dan tepat berkaitan pihak-pihak yang terlibat ketika berlangsungnya sidang perdebatan. Rata-rata peserta yang menyertai program ini sangat komited untuk menjawab setiap soalan yang diajukan oleh mahasiswa berkaitan teori perdebatan yang dikongsikan.

Legasi Debat - Kurang Upaya Bukan Penghalang Timba Ilmu

“Kebanyakan mereka di sini mempunyai masalah pembelajaran dan setiap arahan yang diberikan perlul diterangkan satu demi satu. Saya sangat berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh Kokurikulum Debat UiTM ini yang memilih Bengkel Daya  sebagai tempat untuk program ini dijalankan,” kata pegawai Bengkel Daya Klang yang turut hadir semasa program berlangsung.

“Ini sedikit sebanyak memberi pengalaman dan ilmu baharu kepada mereka di sini, di samping mereka dapat meluangkan masa hujung minggu dengan aktiviti berfaedah. Terima kasih kepada Puan Hajah Noriza dan pengarah program bersama barisan fasilitator debat UiTM Shah Alam,” tambahnya.

Perkara ini telah membuktikan kepada mahasiswa bahawa kesempurnaan fizikal dan kecerdasan minda bukan pengukur kepada kebijaksanaan seseorang, sebaliknya usaha dan semangat berdaya saing yang perlu dititiberatkan. Diharapkan, program UCE yang bakal dianjurkan oleh mahasiswa lain di masa akan datang boleh diadakan di tempat-tempat seperti ini agar mereka yang kurang bernasib baik ini juga didedahkan dengan pelbagai ilmu yang wajar mereka ketahui dan menjadikan mereka setanding dengan mereka yang lain di luar sana. Bersama membina bangsa berilmu.

0
0