Seramai 380 warga Kolej Alam Bina, UiTM Seri Iskandar telah menghadiri program yang bertajuk Lecture Series: Green Interior and Green Architecture yang menampilkan pakar dalam bidang kelestarian seni bina, iaitu Ar. IDr. Shyuan Kuee. Sesi perkongsian yang dianjurkan oleh Program Teknologi Reka Bentuk Dalaman (PTRD) dengan sokongan rakan strategik, Kampus Hijau UiTM Perak, telah bermula seawal 8.30 pagi di Dewan Seri Iskandar dan berakhir pada pukul 11 pagi dengan sesi soal jawab daripada peserta yang hadir. Selaku koordinator subjek DID350, Reka Bentuk Projek Akhir bagi semester 6, Puan Siti Rohamini Yusoff amat berpuas hati dengan perancangan dan hasil dapatan dari program tersebut.
Ar. IDr. Shyuan Kuee merupakan seorang arkitek yang terkenal dengan hasil kerja kreatifnya yang memperkasakan amalan kelestarian. Majoriti dari projeknya mengetengahkan amalan hijau dengan suntikan teknologi bagi memastikan kemampanan seni bina projek tersebut. Di antara salah satu projek beliau yang terkenal adalah 1 Lasam yang telah mendapat pensijilan dari Green Building Index (GBI). 1 Lasam merupakan bangunan pertama yang mendapat penarafan GBI Platinum di Perak. Uniknya 1 Lasam, ciri yang paling ketara adalah daripada bentuknya. Bangunannya berbentuk V diambil daripada tapaknya yang berbentuk segi tiga kerana mengambil kira limitasi ruang terhad di atas tanah. Oleh itu, 1 Lasam dicipta seolah-olah kelihatan terapung untuk memaksimumkan jumlah jejak bangunan. Terdapat sebuah laman terbuka berada ditengah-tengah bangunan bertujuan untuk memaksimumkan penggunaan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi yang ada. Bagi mengawal limpahan cahaya matahari di sebelah barat bangunan, dinding tersebut telah dibina secara dua lapisan dan dipasang dengan tingkap bilah padat yang dapat menghalang limpahan haba dan silau matahari menerjah masuk dalam ruang pejabat yang terutamanya di waktu petang.
Oleh kerana lokasi 1 Lasam ini berdekatan dengan kem tentera, terdapat peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi semasa proses pembinaan bangunan ini, salah satunya adalah pengawalan visual melalui tingkap bilah yang sedia ada. Selain itu, 1 Lasam juga tertakluk kepada had ketinggian bangunan maksimum sebanyak lima tingkat dan akses ke bahagian bumbung bangunan tersebut juga terhad. Namun begitu, sistem solar PV 40kWp telah dipasang bagi menghasilkan tenaga bersih dan boleh diperbaharui bagi kegunaan bangunan tersebut.
Selain dari keunikan dan keistimewaan amalan kelestarian dari 1 Lasam, salah satu lagi bangunan yang telah dinaiktaraf oleh Ar. IDr. Shyuan Kuee dan firmanya adalah Hospital Pantai Puteri Ipoh dan salah satu mercu tanda Greentown Ipoh, Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga dalam proses peningkatan. Dengan gambaran 3D yang menarik, bangunan MBI tersebut bakal menjadi tarikan buat semua yang melalui lokasi tersebut.
Kuee Architect merupakan sebuah firma arkitek yang berpusat di Ipoh dan dikenali sebagai firma yang versatile kerana telah terlibat dalam pelbagai jenis projek reka bentuk, tidak terhad kepada bangunan komersial sahaja. Firma ini turut terlibat dalam projek dalaman dan luaran bagi projek residensi, hospitaliti, bilik pameran, pusat pengebumian, perancangan bandar, rekabentuk kilang, kebun solar, serta aktif dalam berbagai kegiatan masyarakat. Selain cawangan di Kuala Lumpur, Kuee Architect kini telah melebarkan sayapnya ke Hong Kong dan juga United Kingdom.
Turut menyantuni program ini dan memberi sokongan dalam sesi tersebut adalah Penyelaras Kampus Hijau UiTM Perak, Prof Madya Sr. Dr. Hjh. Nur Azfahani Binti Ahmad. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Program Teknologi Reka Bentuk Dalaman, IDr. Dr. Zulkarnain Hazim, selaku penganjur program. Selain itu, penglibatan pelajar IDEAS di bawah penyeliaan penasihat kelab merupakan satu bantuan besar bagi mengawal kehadiran pelajar yang keluar dan masuk ke dalam dewan. REKAhub di bawah PTRD juga telah bersama-sama dalam mempromosikan program ini melalui platform media sosial.
Objektif utama program ini adalah untuk membuka mata pelajar kepada prinsip dan amalan seni bina lestari yang sering diusahakan untuk digunakan dalam projek mereka, tetapi dengan pemahaman yang amat terhad. Speaker juga telah berkongsi mengenai bahan-bahan mesra alam yang terkini, teknik bangunan yang efisien tenaga, dan kepentingan reka bentuk yang menjaga kesejahteraan alam sekitar. Selain itu, pelajar juga diberikan inspirasi dengan menunjukkan hasil kerja nyata dan projek yang telah dilaksanakan. Ini sekaligus dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk mengejar kerjaya dalam seni bina hijau dan berusaha mencapai standard yang tinggi dalam reka bentuk lestari. Pelbagai teknik baru, teknologi canggih, dan pendekatan inovatif dalam reka bentuk dan pembinaan telah diperkenalkan dalam perkongsian tersebut. Pelajar-pelajar telah memperoleh ilmu tentang tren dan perkembangan terkini dalam industri seni bina hijau.
Terdapat pelbagai persoalan dari pelajar dan pensyarah mengenai projek yang sedang dijalankan, yang dijawab dengan terperinci oleh speaker. Hasil akhir sesi soal jawab di dalam borang kehadiran mendapati, terdapat sejumlah besar pelajar yang mengharapkan untuk sesi seperti ini ada lagi di masa akan datang serta kebanyakannya juga telah mencadangkan pelbagai tajuk untuk dikupas di sesi akan datang. Harapan kami adalah agar program ini menjadi titik permulaan untuk peningkatan dan perkembangan yang berterusan dalam komuniti alam bina, serta memberi kegembiraan dan kepuasan kepada semua yang terlibat.