12 Oktober 2024 – Taklimat Kokurikulum bagi Sesi Oktober 2024 – Februari 2025 telah diadakan di Padang Kawad, UiTM Shah Alam. Taklimat ini dihadiri oleh lebih daripada 7,000 pelajar UiTM Shah Alam, menjadikannya satu acara penting dalam permulaan semester kokurikulum mereka. Pusat Kokurikulum, di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya hadir pada kelas pertama kokurikulum semester ini.
Program kokurikulum yang ditawarkan bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, tetapi juga memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dan karakter unggul dalam kalangan pelajar UiTM. Turut hadir adalah Pengarah Kokurikulum UiTM, Datuk Hasrol Jono, yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi.
Taklimat ini juga menekankan kepentingan DNA UiTM, yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai jati diri yang kukuh sebagai anak Melayu dan Bumiputera. Sebagai tambahan, UiTM melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah diberi tanggungjawab melaksanakan Modul Kursus Integriti Anti-Rasuah (KIAR) yang wajib diikuti oleh semua pelajar semester tiga. Program KIAR, yang dilaksanakan secara mingguan, bertujuan membentuk integriti dan etika tinggi dalam kalangan mahasiswa.
Selain KIAR, pelbagai kursus kokurikulum lain seperti Kesatria Negara, Kembara, dan Pancaragam juga ditawarkan untuk membantu pembentukan pelajar yang berdisiplin dan berkarakter, selaras dengan nilai-nilai DNA UiTM. Melalui pelaksanaan kursus ini, UiTM yakin dapat melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.
Pusat Kokurikulum turut berinovasi dengan memperkenalkan e-book Kesatria, memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif kepada pelajar. Program-program lain seperti Kesatria Brass Band, PALAPES, SISPA, SUKSIS, dan BSMM turut menyumbang kepada penglibatan aktif pelajar dalam pelbagai bidang kokurikulum.
Pesanan daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, menegaskan komitmen UiTM untuk terus melaksanakan program-program kokurikulum berimpak tinggi, dengan kajian berterusan untuk mengukur tahap kesedaran pelajar. Ini bagi memastikan UiTM terus memperkasakan mahasiswa dari semasa ke semasa.
Penulis Utama: Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Sazili Shahibi
Penulis Bersama: Najihah Azmi, Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Nooraidah Mokhtar, Muhammad Syuhairi Zakaria, Dr. Alwi Mohd Yunus, Dr. Basharudin Abdul Hadi