Lebih 500 Pengunjung Hadir Di Hari Terbuka Program Pra Pendidikan Tinggi 2022


Shah Alam: Hari Terbuka Pejabat Program Pra Pendidikan Tinggi (PPPPT) UiTM Shah Alam yang diadakan pada hari Sabtu, 13 Ogos 2022 di Dewan Seminar UiTM Global, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam menerima lebih dari 500 kunjungan yang terdiri dari guru bimbingan dan kaunseling (GBK), pelajar sekolah, pelajar tahfiz, lepasan SPM, wakil dari agensi awam dan ibu bapa.

Program ini disertai oleh Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM (BPP), Institut Pengajian Siswazah (IPSis) dan Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS). Matlamat utamanya untuk menyebar luaskan maklumat berkaitan program Pra Diploma kepada masyarakat disifatkan berjaya kerana ia telah mula menerima kunjungan seawal jam 8 pagi sebaik kaunter pendaftaran dibuka. Dengan kehadiran pengunjung yang bertali arus, kaunter PPPT hanya ditutup pada jam 6 petang, sebaik peserta terakhir pulang.

Selain taklimat kemasukan ke program Pra Diploma oleh Pengarah PPPPT, Prof Madya Ts Dr Aini Jaapar; beberapa kaunter PPPT turut dibuka seperti kaunter penerangan dan khidmat nasihat berkaitan permohonan kemasukan ke Program Pra Diploma, kaunter semakan permohonan, kaunter penghantaran dokumen dan kaunter pengesahan dokumen. PPPT bertuah kerana menerima bantuan khidmat pengesahan dokumen dari Dr Syuhaeda Aeni Mat Ali dari Fakulti Undang-undang dan Prof Madya Dr Asmadi Yaakob dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari.

Penyampaian watikah pelantikan kepada 14 ‘Rakan Bestari PPPT’ yang hadir turut dilaksanakan. ‘Rakan Bestari PPPT’ merupakan pengantara yang menawarkan diri untuk mewakili PPPT dalam menyampaikan maklumat terkini berkaitan program Pra Diploma kepada agensi yang diwakili. ‘Rakan Bestari PPPT’ terdiri dari GBK, Pengetua maahad tahfiz, wakil dari agensi awam dan Penghulu.

Program yang berlangsung dari pagi hingga ke petang ini terus ceria dengan kepetahan Dr Nursaadatun Nisak selaku Deejay bertugas yang tidak jemu-jemu memberi penerangan ringkas berkaitan fungsi PPPT dan kaunter-kaunter yang disediakan. Suasana bertambah meriah dengan selingan acara cabutan bertuah dan kuiz PPPT yang menyediakan 10 hamper dan lebih dari 30 cenderahati untuk pengunjung yang bertuah.