PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN – 3 JUN 2023: Buat julung kalinya, Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson menerima kehadiran lebih 200 peserta bagi program pembersihan pantai. Aktiviti ini adalah hasil cetusan peserta CEO@Faculty program dari Universiti Teknologi MARA yang diketuai oleh Dr Nurul Hidayana Mohd Nor (Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Seremban) dan Dr Syeliya Mohd Zaini (Fakulti Perakaunan, Puncak Alam) bersama Kelab Alam Sekitar (BEVA) FSPPP dan Pusat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM.
Program ini dilaksanakan seiring dengan saranan pembangunan mampan atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDGs). Berdasarkan laporan Pusat Kajian Alam Sekitar dan Kebangsaan (NECC) sehingga tahun lalu menunjukkan, Malaysia mempunyai kadar penghasilan sisa pepejal domestik hampir 40 ribu tan setiap hari dan ia dijangka meningkat 1.5 kali ganda menjelang 2050. Sehubungan itu, program pembersihan pantai ini dilaksanakan sebagai antara inisiatif berterusan bagi membantu mengurangkan penghasilan sisa pepejal yang terdapat di sekitar kawasan pantai di negara ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan Penerangan dan Integrasi Nasional, EXCO DUN Lukut, YB Tuan Choo Ken Hwa, penganjuran program ini juga bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera. Pada masa yang sama, program sebegini dapat dikerapkan bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai demi kelangsungan ekologi hidupan marin.
YB Tuan Choo juga berkata, melihat kepada pendekatan global, aktiviti pada pagi ini telah mendukung matlamat pembangunan mampan yang dibawa oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations (UN). “Saya percaya aktiviti hari ini boleh membawa kepada perubahan kepada SDG14 (life below water) dan SDG15 (life on land). Justeru, saya ingin menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam memastikan matlamat pembangunan mampan ini dapat dilaksanakan di pelbagai peringkat.”
Turut hadir pada majlis ini adalah, Timbalan Naib Canselor, Pusat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, UiTM, Prof. Dr. Mohamad Hariri Abdullah, Profesor Dr Muhammad Hussain Ismail, Pengarah Pusat Jaringan Industri, dan Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Seremban, Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith.
Selain Pihak Berkuasa Tempatan, agensi kerajaan negeri dan penajaan daripada syarikat-syarikat swasta diperlukan secara berterusan demi memastikan program pendidikan dan kesedaran terhadap alam sekitar dapat diterapkan di kalangan rakyat Malaysia. Ia termasuklah program seperti kitar semula, pembuatan barangan terbuang dan aplikasi penanaman urban bersama fasilitator daripada Maybank.
Galeri Gambar: