Lawatan UiTM Cawangan Sarawak ke Sheng-Diao Aquatic Technology Taiwan

UiTM Cawangan Sarawak telah mengadakan lawatan ke Sheng-Diao Aquatic Technology yang terletak di Wilayah Pingtong, Selatan Taiwan. Rombongan lawatan ini telah diketuai oleh YBhg Dato Profesor Dr. Jamil Bin Hj. Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak serta Prof. Madya Dr. Abang Zainoren Bin Abang Abdurahman, Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri).

Di samping itu, lawatan ini juga turut disertai oleh beberapa orang pensyarah daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.

Sejajar dengan perkembangan semasa terutamanya dalam aspek Revolusi Industri 4.0, lawatan ke Sheng-Diao Aquatic Technology, Taiwan telah memberikan satu gambaran sebenar dalam mewujudkan satu bidang pertanian yang berdaya saing dan mapan terutamanya dalam menghadapi cabaran kos pengeluaran yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Rombongan peserta lawatan telah didedahkan dengan sistem fasiliti akuakultur pintar yang melibatkan sistem automasi makanan ikan, kawalan kualiti persekitaran akuatik secara masa nyata serta alat pengudaraan boleh alih terkini yang menggunakan putaran secara berkala.

Penggunaan meluas sistem akuakultur pintar di Sheng-Diao Aquatic Technology, Taiwan ini telah mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan produktiviti dan keberkesanan sistem penternakan ikan Tilapia serta mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik.

Disamping itu, dengan penggunaan sistem terkini ini, Sheng-Diao Aquatic Technology telah berjaya mengurangkan  jumlah pekerja daripada sepuluh orang pekerja kepada hanya seorang pekerja sahaja jika dibandingkan keadaan semasa sepuluh tahun dahulu. Lawatan ke Sheng-Diao Aquatic Technology ini membuka lembaran baharu dalam jaringan industri akuakultur pintar diantara negara Malaysia dan Taiwan.

Dengan penawaran program baharu Diploma Akuakultur (AT117) di Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah, lawatan ini membuka peluang kepada jaringan dengan negara luar seperti program penempatan latihan indusri pelajar di bawah agensi yang mempelopori teknologi baharu sistem akuakultur pintar.

Oleh itu, UiTM Sarawak sangat berbesar hati untuk memperluaskan penggunaan teknologi akuakultur pintar dalam melonjakkan pengeluaran industri perikanan negara.

0
0