Lawatan Tenaga Pendidik dari Bangsamoro Selatan Filipina ke Akademi Pengajian Bahasa (APB)

Delegasi dari Bangsamoro, Selatan Filipina ke UiTM, Shah Alam

Pada 18 September 2019, satu delegasi seramai 16 orang tenaga pendidik dari Bangsamoro, Selatan Filipina telah mengadakan lawatan ke UiTM Shah Alam bersempena dengan lawatan kerja mereka di Malaysia. Hasrat lawatan ke UiTM ini telah disampaikan oleh wakil delegasi kepada Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), UiTM.

Lawatan kerja delegasi ini adalah melalui Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra dan mereka juga telah mengadakan program di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa.

Antara matlamat utama lawatan delegasi ini ke UiTM adalah untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan bertukar pandangan khususnya berkaitan sistem pendidikan, bahasa dan budaya antara dua negara.

Dekan Akademi Pengajian Bahasa (APB), Prof Madya Dr Ahmad Mazli bersama delegasi Filifina

Bagi melengkapkan sesi lawatan ini, pihak delegasi berbesar hati untuk melawat Akademi Pengajian Bahasa UiTM yang mana akademi ini pada pandangan mereka sangat relevan untuk dilawati khususnya apabila berbicara soal bahasa, budaya dan adat.

Sesi lawatan ini juga telah disertai oleh Dekan Akademi Pengajian Bahasa, Prof Madya Dr Ahmad Mazli Muhammad, wakil pengurusan kanan dan para pensyarah APB.

Delegasi ini telah dibawa melawat kelas-kelas pengajian di Kenanga 2 dan sesi dialog secara santai bersama pelajar-pelajar juga telah diadakan.

Semoga lawatan dan persahabatan di antara kedua-dua negara dapat memberi laluan kepada lebih banyak kolaborasi penyelidikan dan pendidikan.

0
0