Lawatan Rasmi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ke UiTM Cawangan Sabah

21 April 2022 (Khamis) | YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah mengadakan lawatan rasmi ke UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu. Ketibaan YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah disambut mesra oleh YBhg. Datuk Profesor Madya Dr. Hj Abdul Kadir Bin Hj. Rosline bersama pengurusan kanan kampus.

Lawatan rasmi YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bermula dengan program edaran bubur lambuk kepada komuniti Taman Jaya Diri, Sepanggar. Sebanyak 2000 pek bubur lambuk telah diedarkan kepada komuniti Taman Jaya Diri Sepanggar. Program agihan bubur lambuk merupakan aktiviti anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Sabah serta kerjasama Society Empowerment and Economic Development Sabah (SEEDS) dan Kelab HoTour De’Force Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan.

YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad meneruskan lawatan rasmi beliau dengan menyampaikan ceramah bertajuk Kepimpinan Dalam Era IR 4.0 di Dewan Tun Mustapha, Ujana Sarjana yang dihadiri 150 orang pemimpin pelajar UiTM Cawangan Sabah. Seterusnya, YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah menyampaikan bantuan komputer riba sumbangan Puncakmas Resources Sdn Bhd kepada 9 orang pelajar kategori B40.

YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berbesar hati berbuka puasa dan solat maghrib bersama 300 orang pelajar sempena Majlis Iftar Perdana di Dewan Al-Bukhari, Ujana Sarjana. Beliau turut menyaksikan penyampaian sumbangan khas kepada UiTM Cawangan Sabah daripada Society Empowerment and Economic Development Sabah (SEEDS) dan sumbangan 3 buah komputer riba kepada pelajar kategori B40 daripada Persatuan Alumni UiTM Cawangan Sabah.