9 Ogos 2022 (Selasa) – Prof. Dr. Haslinda binti Yusoff, Dekan Fakulti Perakaunan telah mengadakan lawatan rasmi ke UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Ketibaan Dekan Fakulti Perakaunan itu telah disambut mesra oleh Ketua Pusat Pengajian Perakaunan, Dr. Mohamad Azmi bin Nias Ahmad bersama pengurusan tertinggi kampus termasuklah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah binti Ramli, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof. Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman dan Timbalan Pendaftar, En. Mohammad Khair bin Mohd Seni.
Lawatan rasmi Prof. Dr. Haslinda bermula dengan sesi temuduga bersama calon-calon pensyarah tetap Fakulti Perakaunan. Seramai kira-kira 13 orang calon pensyarah perakaunan menjalani sesi temuduga tersebut yang diadakan pada sesi pagi dan disambung pada sesi petang. Program bertemu dan beramah mesra antara dekan dengan pensyarah perakaunan di UiTM Cawangan Pahang pula diadakan setelah tamat sesi temuduga di sebelah pagi.
Tujuan program bertemu dan beramah mesra tersebut adalah bagi memenuhi hasrat Prof. Dr. Haslinda untuk berkenalan di samping menyampaikan amanat beliau kepada pensyarah perakaunan. Sesi perkenalan dan penyampaian amanat tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, UiTM Cawangan Pahang bermula jam 11.00 pagi hingga 12.45 tengah hari.
Antara intipati amanat beliau adalah berkenaan peranan Fakulti Perakaunan dalam membantu UiTM untuk merealisasikan hasratnya sebagai Globally Renowned University menjelang 2025. Untuk itu, Fakulti Perakaunan harus mengambil inisiatif seperti pengiktirafan kepakaran fakulti, pengiktirafan program akademik serta pengiktirafan pelajar yang berkualiti dan bersifat holistik.
Prof. Dr. Haslinda kemudiannya berbesar hati untuk menikmati jamuan tengah hari bersama-sama Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah, Prof. Dr. Wan Mohd Nazri, Dr. Mohamad Azmi Nias, En. Mohammad Khair serta pensyarah-pensyarah perakaunan. Beliau juga diberikan kejutan sempena sambutan hari kelahiran beliau yang jatuh pada hari tersebut. Pada jam 2.30 petang, beliau meneruskan sesi temuduga seperti yang dijadualkan.