2 Jun 2024 – Pada 29 Mei hingga 2 Jun 2024 yang lalu, seramai 5 orang pensyarah Pusat Pengajian Biologi, UiTM Cawangan Negeri Sembilan merangkap ahli SIG ECONATREA telah menjalankan lawatan kerja ke Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Andalas (UNAND). Lawatan kerja ini adalah lawatan balas kepada Departemen Biologi, FMIPA yang telah datang berkunjung ke UiTM Kampus Kuala Pilah pada 19 Februari 2024.
Program diskusi yang melibatkan pengenalan pensyarah serta bidang kepakaran bagi kedua-dua universiti telah diadakan pada sesi pertama. Dalam pada itu juga, pihak SIG ECONATREA telah membentangkan beberapa cadangan kolaborasi penyelidikan dan pembangunan pelajar yang dijangka dapat dijalankan bersama UNAND bermula pada tahun 2024. Seterusnya, sesi diskusi antara pensyarah dalam bidang spesifik dari kedua-dua universiti telah dijalankan selama hampir 2 jam dan beberapa cadangan aktiviti melibatkan kolaborasi penyelidikan dan pembangunan pelajar telah mencapai kata sepakat serta bakal dirancang dan dijalankan dengan kadar segera. Sebagai penutup pada hari pertama, rumusan terhadap hasil perbincangan pada sesi tersebut telah dibentangkan oleh setiap wakil pensyarah dari setiap bidang berkaitan.
Rombongan SIG telah dibawa melawat Herbarium Universitas Andalas dan Museum Zoologi di bawah Departemen Biologi, FMIPA. Herbarium tumbuhan dan Museum Zoologi berfungsi sebagai penyimpanan koleksi dan dokumentasi kepelbagaian tumbuhan tropika dan haiwan untuk keperluan praktikum, penyelidikan dan khidmat identifikasi. Herbarium ini telah ditubuhkan sejak 20 Disember 1980 dan telah terdaftar Index Herbariorum of The New York Botanical Garden sejak Oktober 2010 dengan kod herbarium ‘ANDA’. Rombongan SIG telah diberi latihan penyediaan dan pengurusan herbarium oleh Ketua Laboratorium ANDA iaitu Dr. Nurainas. Kami sangat bertuah kerana herbarium ini merupakan herbarium tertua di Sumatera dan kedua terbesar di Indonesia dengan koleksi sekitar 60 ribu sheet spesimen. Manakala Museum Zoologi di bawah kelolaan Dr. Wilson Novarino mengandungi pelbagai koleksi rama-rama, kumbang, serangga, burung dan mamalia kecil yang telah terawet. Antara sampel yang menarik perhatian adalah burung Kuang Raya dan marsupial ekor bergulung spesies Papua New Guinea, Spilocuscus rufoniger.
UNAND mempunyai Hutan Pendidikan dan Penelitian Biologi (HPPB) yang berkeluasan 150 hektar. HPPB terletak bersebelahan dengan kampus utama UNAND di Limau Manis, Padang, Sumatra Barat. Departemen Biologi, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam merupakan jabatan yang bertanggungjawab menguruskan hutan ini. Ahli SIG ECONATREA telah berpeluang menyertai kuliah lapangan, taksonomi tumbuhan di HPPB yang dianjurkan oleh Departemen Biologi. Kuliah lapangan ini merupakan aktiviti pembelajaran bagi pelajar yang mengambil pengkhususan tumbuhan. HPPB kaya dengan spesies tumbuhan dan haiwan termasuk beberapa spesies endemik Sumatra. Terdapat 3 laluan, trek utama di HPPB yang dikategorikan sebagai trek 1 (mencabar), trek 2 (sederhana) dan trek 3 (mudah).
Laluan bagi trek 1 dimulai dengan menuruni laluan trek ke aliran sungai. Kemudian diikuti pula dengan perjalanan yang mendaki bukit. Kecerunan pendakian adalah di dalam anggaran 25o ke 35o dengan laluan berbatu yang berlumut. Di sepanjang pendakian, dapat diperhatikan lumut, Bryophyta di batang-batang pokok, permukaan batu laluan trek 1 serta di dinding cerun bukit. Terdapat juga genus sp. daripada kumpulan fungi. Malahan, lebih banyak lagi tumbuhan renek berkayu lembut serta tumbuhan berbunga yang ada di hutan tersebut. Salah satu tumbuhan renek berbunga yang boleh diperhatikan di trek 1 ialah Famili Ochnaceae, tumbuhan yang mempunyai bunga berwarna merah jambu yang cantik.
Perjalanan trek 1 diteruskan dengan pendakian selama 30 minit untuk sampai ke puncak bukit. Setibanya di puncak, terdapat satu pondok teduhan untuk istirahat sebelum meneruskan perjalanan. Ketika berada di puncak bukit, keadaan muka bumi adalah tidak sekata, di lereng cerun bukit, dengan kehadiran tumbuhan yang rapat serta jarak penglihatan antara 2 ke 3 meter sahaja. Oleh itu, para pelajar serta pelawat berkumpulan yang melalui trek 1 ini perlulah saling bekerjasama dan mengambil berat keberadaan ahli kumpulan masing-masing. Hasil pemerhatian serta perbincangan bersama pelajar pascasiswazah sains tumbuhan, En.Thoriq, HPPB ini merupakan hutan sekunder yang tebal, masih terpelihara dari kemodenan dunia global.
Permulaan laluan, trek 2 adalah agak landai dan terdapat 2 anak sungai yang perlu dilintasi serta pendakian di hujung laluan. Terdapat pelbagai spesies tumbuhan yang dapat dilihat sepanjang kami melalui trek ini. Tumbuhan ros liar dijumpai pada awal laluan. Menurut Prof. Dr. Syamsuardi yang mengetuai kumpulan kami, tumbuhan ini menghasilkan buah yang bersaiz kecil dan boleh dimakan. Selain itu, pelbagai jenis spesies paku pakis dilihat memenuhi kiri dan kanan laluan. Paling menarik, kami dapat melihat spesies periuk kera, Nepenthes sp. yang merupakan jenis tumbuhan karnivor. Spesies fungi iaitu cendawan turut kelihatan tumbuh di atas batang pokok yang telah tumbang. Semakin jauh ke dalam, semakin banyak tumbuhan yang bersaiz lebih besar mendiami HPPB. Selain tumbuhan, spesies haiwan juga ditemui seperti invertebrata. Bunyi-bunyi alam juga jelas kedengaran daripada kicauan burung dan unggas. Spesies monyet adalah antara jenis haiwan mamalia yang terdapat di HPPB. Walaubagaimanapun, kelibat haiwan ini tidak kelihatan dan hanya suara sahaja yang dapat didengar.
Hasil daripada lawatan kerja ini diharapkan dapat terjalinnya kerjasama erat dalam bidang pendidikan, penyelidikan, khidmat masyarakat dan pembangunan pelajar antara kedua-dua institusi. Melalui kolaborasi ini, diharapkan dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan, memanfaatkan sumber daya alam yang ada, serta memberikan pengalaman berharga kepada pelajar dan pensyarah dalam kajian biodiversiti dan konservasi hutan terutamanya.