16 JUN 2022 (KHAMIS) – Pusat Hijau UiTM atau lebih dikenali sebagai UiTM Green Centre (UGC), yang merupakan unit dibawah Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII) telah mengadakan lawatan penandaarasan ke UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Delegasi Pusat Hijau UiTM telah diketuai oleh Prof. Madya Datin Dr. Arnis Asmat (Pengarah UGC); dan diiringi oleh Prof. Madya Ts. Dr. Khairi Khalid (Timbalan Pengarah UGC) dan disertai Koordinator, Felo, staf dan pelajar latihan industri Pusat Hijau UiTM.
Kehadiran delegasi Pusat Hijau telah dialu-alukan oleh YBhg Sr Dr Mohd Azian Zaidi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perak dan Ketua Bahagian Pengurusan Fasiliti, YBhg Ts Nor Azizah Omar dan YBhg Sr Dr. Nur Azfahani Ahmad, Penyelaras Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak serta ahli jawatankuasa Kampus Hijau Kampus Seri Iskandar.
Objektif utama lawatan penandaarasan ke Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak ini adalah untuk mendapatkan input melalui sesi perkongsian maklumat tentang amalan terbaik inisiatif hijau yang telah berjaya dilaksanakan di Kampus Seri Iskandar. UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar adalah merupakan pemenang keseluruhan Anugerah Kampus Lestari Hijau bagi tahun 2021 yang telah dianjurkan oleh Pusat Hijau UiTM, Pejabat Pembangunan Infrstruktur dan Infostruktur (PPII).
Delegasi Pusat Hijau UiTM telah dibawa untuk melawat ke enam (6) lokasi yang merupakan tapak-tapak hijau berkonsepkan kelestarian di dalam Kampus Seri Iskandar iaitu Green Roof; Foyer Perpustakaan dan Café Library; Kebun Mini Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF) dan Makmal Guna Sama; Pusat Kitar Semula 3r@Roundabout PI; Court of Harum Manis@ Jalan Pasar Malam; Land of Musang King@Kebun Belakang dan Rekahub Green Office.
Melalui lawatan penandaarasan yang telah berjaya dilakukan buat julung kalinya ini oleh Pusat Hijau UiTM, pelbagai inisiatif-inisiatif hijau yang bakal disaksikan di seluruh sistem Universiti Teknologi MARA akan dirancang dan dikoordinasikan dengan lebih sistematik bagi memastikan agenda kelestarian Universiti dapat dicapai, dan seterusnya dapat menjadikan UiTM sebagai Globally Renowned University (GRU) menjelang tahun 2025.