Lawatan Penandaarasan dan Penyeragaman Unit Pengurusan Ladang Pahang ke Ladang Nanas MD2 Kampus Jasin

29 Ogos 2022 – Satu lawatan ke Ladang Nanas UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin telah di adakan oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif Unit Pengurusan Ladang (UPL) UiTM Cawangan Pahang (EsTeam). Kumpulan ini yang di ketuai oleh Encik Shamsudin Bin Ismail bersama dua orang ahli kumpulan yang lain telah hadir ke Kampus Jasin bagi mengadakan lawatan penandaarasan dan penyeragaman penggunaan alat ‘Flexible Fertilizer Tool’ atau FlexiF-Tool di Ladang Nanas UiTM Kampus Jasin.

Kehadiran delegasi EsTeam telah di sambut oleh Encik Fairuz Bin Dato Khalid, Pensyarah kanan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Encik Aminul Iskandar, Penolong Pengurus Ladang UPL UiTM Melaka serta pengurusan UPL UiTM Melaka. Objektif utama lawatan ini ialah untuk memperkenalkan alat Flexif-Tool ini untuk di guna pakai semasa proses pembajaan nanas di ladang. Alat ini dapat membantu memudahkan proses pembajaan tanaman nanas serta dapat mengurangkan kos-kos lain yang berkaitan dalam proses pembajaan pokok nanas.

Melalui lawatan ini, di harapkan perkongsian penggunaan FlexiF-Tool dapat membantu memudahkan lagi tugasan membaja tanaman nanas di UPL UiTM Melaka dan dalam masa yang sama dapat menghasilkan buah nanas yang bermutu tinggi. Alat FlexiF-Tool ini telah berjaya merangkul Pingat Emas bagi pertandingan inovasi yang di anjurkan oleh UiTM dan Institusi luar. Di harap, pada masa akan datang, FlexiF-Tool dapat di gunakan bukan sahaja di Ladang Nanas UiTM sahaja, malah dapat di gunakan di seluruh ladang nanas di negara kita.