Lawatan Penanda Aras: Pengurusan Kolej Kediaman dan Program Pembangunan Pelajar Bersama JPK Melati

KUALA TERENGGANU – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati Sesi 2022/2023 UiTM Shah Alam telah menjalankan program Lawatan Penanda Aras: Pengurusan Kolej Kediaman dan Program Pembangunan Pelajar selama 3 hari 2 malam bermula 3 hingga 5 Jun 2022 dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kuala Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program ini merupakan anjuran Majlis Tertinggi Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Melati bersama penasihat program En Amirahudin Jamaludin. Seramai 17 ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati dibawah selian En Amirahudin Jamaludin dan Pn Zahara Abdul Rahman telah mengikuti program yang dijalankan. Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk berkongsi idea dan kepakaran dengan menggabungjalinkan kejayaan Kolej Melati dengan Kolej Kediaman Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terlibat agar dapat diolah serta disesuaikan bagi memacu kecemerlangan IPT di Malaysia.

Pada hari pertama, aktiviti bersama Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kerawang, UiTM Kampus Kuala Terengganu telah berjaya diadakan. Antara aktiviti yang diadakan ialah sesi perkongsian dari pihak JPK Kerawang yang berkongsi serba sedikit tentang program yang telah dijalankan, prasana dan fasiliti yang ada di Kolej Kerawang. Kolej Kerawang mempunyai dua blok iaitu Blok Kasa (Blok Siswa) dan Blok Sutera (Blok Siswi). Sesi pada malam tersebut turut dihadiri oleh Puan Norhatini Abdul Wahab selaku Penolong Asrama Kolej Kerawang. Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan pembentangan oleh pihak JPK Kolej Melati berkaitan dengan kejayaan yang pernah dikecapi antaranya adalah Anugerah Kolej Cemerlang (AKC), Karyaku dan Sukan Antara Kolej (SUKOL).

Hari kedua diteruskan dengan sesi pertama dimulakan dengan pembentangan daripada Prof Madya Dr Zul Azhan selaku Pengetua Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar yang membentangkan berkenaan struktur organisasi Kolej Kediaman di UniSZA. Kemudian di ikuti oleh wakil Majlis Kolej Kediaman (MKK) UniSZA berkongsi tentang program-program yang menarik dan berimpak di bawah anjuran mereka seperti program “Anak Angkat Pulau Redang”. Seterusnya, majlis diteruskan dengan pembentangan daripada JPK Melati berkenaan dengan kejayaan AKC yang telah berjaya dipegang oleh Kolej Melati selama tujuh tahun berturut-turut.

Program diteruskan dengan sesi kedua iaitu perkongsian kejayaan Anugerah Tokoh Siswa (ATS) daripada Encik Engku Mohammad Fadhli Bin Engku Fauzi. Beliau merupakan calon finalis ATS peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) pada tahun 2019. Beliau berkongsi serba sedikit tentang program yang dilaksanakan yang menjadi rahsia kejayaan beliau dan pasukannya dari segi kepimpinan dan program yang dijalankan. Turut serta untuk beramah mesra pada petang tersebut adalah Dr Wan Omar Ali Saifudin iaitu Pengarah Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar UniSZA dan Pn Wan Iylia Syaheera iaitu Penolong Pendaftar Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar UniSZA. Selain itu, program diteruskan dengan melihat Taman Botani dan sistem Akuaponik yang telah diusahakan oleh pihak UniSZA.

Pada sebelah malam, telah berlangsungnya perkongsian dua hala bersama Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (JPKK) UMT. Dari perkongsian tersebut, adalah penting sebagai seorang pemimpin pelajar untuk menitikberatkan aspek kebajikan pelajar. Antara program yang mementingkan kebajikan pelajar adalah Program “Helping Hand” yang membantu pelajar membeli barang keperluan semasa pandemik Covid-19.

Pada hari ketiga, 5 Jun 2022 telah berlangsung majlis penutup yang dihadiri oleh Ts. Dr Nik Aziz selaku Pengarah Kolej Kediaman UMT serta barisan pengurusan Kolej Kediaman UMT.  Selepas itu, pihak JPK Melati telah dibawa untuk melakukan lawatan ke Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) UMT yang menjadi kebanggaan warga UMT. Pelbagai hidupan akuatik seperti terumbu karang, ikan Nemo, udang galah dan kuda laut diternak dan dipelihara bagi tujuan memastikan kemandirian spesis di lautan serta manusia tidak akan kehabisan makanan harian.

Menurut pengarah program, Cik Dayang Nurul Nabella menyatakan “Program Pertukaran Idea antara IPT di Malaysia sangat memberangsangkan kerana ia telah memberi lebih banyak pendedahan kepada pemimpin pelajar untuk melakukan aktiviti yang memberi banyak manfaat kepada kebajikan dan kesihatan pelajar serta suasana yang memberi impak positif kepada persekitaran. Tambahan pula, kerjasama yang erat antara IPT di Malaysia juga sesuai dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menitikberatkan elemen keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran”.