Lawatan Penanda Aras Fakulti Perladangan dan Agroteknologi ke Ladang Anggur Amanda Putri’s Garden

Anggur sering dikaitkan penanamannya di negara yang bermusim sejuk. Hakikatnya anggur adalah tanaman yang memerlukan iklim panas untuk subur dan cepat untuk menghasilkan buah. Yang menariknya jika ditanam di negara yang sejuk ia hanya berbuah pada 1 musim sahaja. Walaubagaimanapun jika ia ditanam di Malaysia, ia akan berbuah lebih dari 3 kali. Yang lebih menarik lagi, ia tidak memerlukan tanah yang luas, dalam pasu pun boleh. Lantaran itu, ia telah menarik minat beberapa pensyarah dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Jasin Melaka untuk penubuhan Ladang Anggur di dalam kampus. Lawatan penanda aras yang pertama telah diaturkan ke Amanda Putri’s Garden,Ramuan China, Melaka pada Khamis, 26 November 2020 yang lalu.

Kunjungan tersebut yang diketuai oleh Puan Sarah Jamali, Pensyarah Bioteknologi bersama 6 lagi pensyarah dari pelbagai bidang manakala pihak Amanda diwakili oleh Encik Zarul Hakim. Kumpulan ini telah mendapat seliaan dari Prof Emeritus Bohari Yamin, Pensyarah Kimia, UKM yang bergiat aktif bersama pengusaha-pengusaha industri serta sebagai pembentang dalam persidangan antarabangsa dan tempatan mengenai anggur. Tujuan utama lawatan ini adalah bagi membincangkan kolaborasi bagi kedua-dua pihak untuk memajukan tanaman anggur di Melaka serta beberapa isu tentang teknik penanaman anggur.

Beberapa usaha telah dijalankan oleh kumpulan ini antaranya permohonan grant, bengkel teknik penanaman anggur serta beberapa penyelidikan telah mula dijalankan mengenai penyakit pokok, tisu kultur dan media anggur. Semoga dengan penubuhan kumpulan ini dapat menaikkan nama UiTM ke peringkat yang lebih tinggi lagi.