RAUB, 3 Julai 2023 – “Lawatan Penanda Aras” dari Kolej Komuniti Temerloh di Pusat Pengajian Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub telah berlangsung pada 22 Jun 2023 (Khamis) bermula dari jam 10.30 pagi sehingga 4.00 petang. Terdapat 6 orang pensyarah dari Kolej Komuniti Temerloh dan 8 orang pensyarah dari KPPIM UiTM Cawangan Pahang telah terlibat dengan program lawatan penanda aras ini. Kunjungan dari Kolej Komuniti Temerloh ini adalah bertujuan untuk menanda aras pelaksanaan program bagi meningkatkan kualiti penawaran program di peringkat kolej komuniti khususnya untuk program Teknologi Maklumat di Kolej Komuniti Temerloh, Pahang. Pihak PPIM telah berkongsi maklumat berkenaan dengan pelaksanaan program Diploma Sains Komputer (CS110) dan juga pengurusan pentadbiran di peringkat UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.
Delegasi dari Kolej Komuniti Temerloh telah tiba di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub pada jam 10.30 pagi dan terus diiringi ke Bilik Mesyuarat Utama. Pihak KPPIM UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub telah berkongsi maklumat terutama berkaitan dengan Diploma Sains Komputer dari segi silibus dan pelaksanaannya. Bukan itu sahaja, KPPIM juga membentangkan Penunjuk Prestasi yang diamanahkan dan yang telah dicapai untuk tahun 2022. Selain itu, KPPIM juga menerangkan pelaksanaan dan penilaian terhadap seorang pensyarah seperti pelaksanaan Teaching Effectiveness Index (TEX) sebagai Penilaian Pengajaran 360° dan penggunaan MyATP. Penggunaan UFUTURE dan Google Classroom sebagai salah satu cara pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan kaedah Learing Management System. Seterusnya, KPPIM juga menerangkan proses collaborative teaching bersama industri dan universiti lain. Delegasi dari Kolej Komuniti Temerloh juga telah dibawa ke bilik kuliah, makmal komputer, Smart Classroom, dewan kuliah dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR). Hal ini adalah bertujuan untuk mendedahkan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Program ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati. Delegasi dari Kolej Komuniti Temerloh bergerak pulang pada jam 4 petang.
Diharapkan program lawatan ini dapat memberi input dan maklumat yang diperlukan oleh Kolej Komuniti Temerloh, Pahang serta menjadi platform yang baik untuk jalinan kolaborasi bagi Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub dan Kolej Komuniti Temerloh, Pahang.