PERMATANG PAUH, 23-24 Oktober 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang melalui Pengajian Kejuruteraan Mekanikal (PKM) telah menganjurkan satu program lawatan oleh Panel Pemeriksa Luar (External Examiner, EE) bagi program Diploma Kejuruteraan Mekanikal (CEEM110). Program ini bertujuan untuk mendapatkan mendapatkan maklumbalas, khidmat nasihat dan pandangan mengenai kandungan program akademik atau kursus CEEM110 di UiTM.
Dalam usaha untuk memenuhi keperluan akreditasi ETAC, panel pemeriksa luar adalah Prof. Madya Ir. Dr. Ruslizam Bin Daud daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Sesi ini turut melibatkan penyertaan pengurusan tertinggi UiTM Pulau Pinang, Unit Akreditasi, para pensyarah, penolong pensyarah, penolong jurutera serta pelajar program CEEM110.
Antara objektif utama program ini adalah untuk memberikan nasihat mengenai kesesuaian kurikulum, hasil pembelajaran dan manual makmal bagi memastikan kualiti akademik setaraf dengan piawaian universiti lain. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan bagi melihat pengukuran PO dan PEO serta garis panduan dalam penyediaan kertas soalan berdasarkan keperluan manual Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) dan Board Of Engineer (BEM) Malaysia.
Lawatan dua hari ini diadakan di Bilik Mesyuarat Aras 1 PKM. Hari pertama satu sesi pembentangan telah diadakan bagi membincangkan kesesuaian pengukuran PO dan PEO, mendapatkan maklumbalas, khidmat nasihat dan pandangan mengenai keperluan semakan kurikulum pada tahun 2025. Hari kedua pula diadakan sesi lawatan bagi melihat fasiliti di UiTM dan makmal sedia ada dalam menjalankan aktiviti pelajaran dan pembelajaran.
Pandangan dan cadangan yang diperoleh dari program ini diharap dapat meningkatkan keupayaan program CEEM110 dalam melahirkan graduan yang kompetitif di pasaran dalam masa yang sama mendapat permintaan yang tinggi.