Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mencemar duli melawat tempat latihan memanah di Padang Hoki SUKPA Kuantan bagi Program i-Talent Memanah yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dengan kerjasama PESRON Negeri Pahang. Agensi lain yang terlibat adalah Majlis Sukan Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
Program yang dianjurkan selama 3 hari ini, bermula pada 29 Mac 2022, adalah bertujuan pencarian bakat baru atlet paralimpik. KDYMM Pemangku Raja Pahang juga turut bersama menyaksikan latihan Pasukan Memanah SUKMA Pahang dan telah bermurah hati untuk memberi sumbangan insentif kepada semua peserta program dan pelatih Memanah SUKMA Pahang.
Baginda berharap Persatuan Memanah Negeri Pahang yang diterajui oleh Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad dapat menjaga kebajikan atlet dan terus melaksanakan aktiviti memanah di seluruh Negeri Pahang dan diperkembangkan lagi untuk semua kategori dan peringkat umur. Sehubungan dengan itu, Pusat Latihan Negeri (PLN) di negeri Pahang, terutamanya PLN Jengka yang terletak di dalam kawasan UiTM Cawangan Pahang dapat merapatkan warga Universiti dan masyarakat.
Program pembangunan memanah seumpama ini telah mencapai sasaran dalam menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk di mana-mana, memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur dan menyediakan pendidikan berkualiti kepada komuniti, berdasarkan pelan strategik universiti, program ini dapat mengukuhkan misi jangka panjang dan sederhana UiTM agar berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai pusat penyebaran ilmu.