Lawatan Panel Penasihat Industri bagi Program Diploma Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PKE), Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang

Permatang Pauh, 4 September 2024 – Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PKE), Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang telah menerima lawatan daripada Panel Penasihat Industri bagi dua program diploma yang ditawarkan di cawangan ini iaitu CEEE111, Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) dan CEEE112, Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa). Mesyuarat antara para pensyarah Diploma PKE bersama Panel Penasihat Industri ini merupakan aktiviti tahunan bagi memenuhi keperluan oleh Engineering Technology Accreditation Council (ETAC), Board of Engineer (BEM) Malaysia.

Seramai lima orang Panel Penasihat Industri telah menghadiri mesyuarat kali ini. Mereka adalah En. Muhammad Fazdlie Omar daripada Continental Automotive Components Malaysia, Ts. Mohd Faizal Muhammad daripada Celcom Digi, En. Mohd Haidar Md Hamzah daripada Intel Technology (M), En. Suhaimi Abdul Rashid daripada Supreme Didactic dan Ir. Wan Nor Rashidi Wan Tajuddin daripada W & R Consulting Engineers.

Mesyuarat kali ini antaranya bertujuan untuk mendapatkan pandangan daripada Panel Penasihat Industri mengenai struktur kurikulum program Diploma PKE. Selain itu, Panel Penasihat Industri juga dimaklumkan mengenai keputusan lawatan akreditasi program diploma yang telah berlangsung pada November 2023 di mana ketika sesi berkenaan, beberapa Panel Penasihat Industri juga turut hadir untuk memberikan komitmen mereka.

Panel Penasihat Industri juga dibawa melawat ke makmal – makmal PKE yang digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Idea dan input berguna daripada Panel Penasihat Industri diharapkan dapat menambah baik fasiliti makmal agar seiring dengan keperluan industri. Kemudiannya, perbincangan di dalam kumpulan kecil di antara pensyarah dan Panel Penasihat Industri diadakan bagi membincangkan dengan lebih terperinci kandungan silibus kursus yang berkaitan.

Tidak dinafikan, penglibatan Panel Penasihat Industri di dalam pembentukan dan perlaksanaan program diploma di PKE adalah sangat penting bagi menjamin program dapat melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri. Lawatan ini berakhir pada lewat tengah hari dengan sesi penutup dan bergambar.