SARAWAK, 14 Jun 2023 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak dengan kerjasama Business Development Unit (BDU), UiTM Cawangan Sarawak telah mengenalpasti potensi produk berasaskan gula apong untuk dikomersialkan di peringkat yang lebih luas. Gula apong yang merupakan produk terkenal negeri Sarawak ini di dalam proses pemfailan Geographical Indication (GI) bagi Gula Apong Sarawak. Sehubungan itu, satu lawatan kerja telah dilaksanakan pada 7 dan 8 Jun 2023 ke Kg. Sri Kalok, Pusa, Betong, Sarawak bagi menjalankan kajian lapangan, pemerhatian serta perbincangan khusus mengenai gula apong. Lawatan telah disertai oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr Abang Zainoren Abang Abdurahman, Pengurus Besar BDU, Dr. Ahmad Fadzil Jobli dan 9 orang pensyarah yang juga ahli projek diketuai oleh Puan Junaidah Mat Jusoh.
Lawatan kerja di Pusa telah disantuni oleh Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Darul Ulum Kalok Betong Berhad iaitu Encik Juhlie@ Joblee bin Ramli. Ahli projek telah dibawa melawat ke tempat pemprosesan pembuatan gula apong secara tradisional yang mana gula apong dimasak dengan menggunakan kayu api. Selain daripada itu, ahli lawatan juga berpeluang untuk menyaksikan proses pembuatan atap nipah secara tradisional yang turut diusahakan oleh ahli koperasi tersebut bagi memenuhi permintaan dari penduduk setempat. Setelah selesai melawat tempat pembuatan secara tradisional, rombongan dibawa untuk melawat Pusat Pemprosesan Gula Apong yang dimiliki oleh pihak koperasi. Pusat pemprosesan ini telah ditubuhkan sejak beberapa tahun lepas dan fokus utama pengoperasian buat masa ini adalah dengan menumpukan kepada pemprosesan gula apong secara moden iaitu menggunakan alat-alat pemprosesan separa automatik, termasuklah penggunaan dapur memasak serbaguna dan tong gas sebagai sumber api. Mengikut pihak koperasi, pemprosesan secara moden memerlukan masa yang sedikit lama berbanding pemprosesan secara tradisional sepenuhnya. Data dan analisis yang diperoleh melalui pencirian kaedah pemprosesan secara tradisional dan moden, beserta ciri-ciri gula apong yang terhasil adalah sangat penting bagi mengenalpasti kriteria unik bagi gula apong, yang seterusnya diperlukan untuk proses pemfailan GI bagi Gula Apong Sarawak.
Ahli rombongan turut berkesempatan untuk merasai dan diberi taklimat berkenaan beberapa produk hiliran berasaskan gula apong yang dibangunkan dan diproses di pusat pemprosesan tersebut. Antaranya adalah air nira, gula apong, garam apong dan ais krim gula apong berasaskan santan yang sangat berlainan berbanding ais krim gula apong yang kini berada di pasaran. Melalui perbincangan ini, pihak BDU dan ahli projek turut dapat mengenalpasti beberapa produk yang berpotensi untuk dibangunkan oleh UiTM dengan menggunakan gula apong hasil keluaran koperasi dalam usaha mendokong projek komuniti yang terlibat. Produk-produk yang bakal dibangunkan nanti akan dapat dikomersialkan di rangkaian kafe dan perkhidmatan catering MyKopi di bawah seliaan BDU, yang sepenuhnya dioperasikan oleh pelajar UiTM. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat membantu semua pihak termasuk komuniti, koperasi, pelajar, ahli projek, BDU, dan UiTM Cawangan Sarawak secara amnya.
Selain daripada itu, lawatan turut memerhati dan mengkaji langkau iaitu tempat pembuatan gula apong secara tradisional yang kebanyakannya uzur dari segi struktur fizikal, bahan binaan juga kemudahan asas yang diperlukan bagi usaha penambahbaikan kelak. Usaha ini adalah sebagai langkah ke arah membantu ekonomi pengusaha-pengusaha kecil seterusnya memajukan dan melestarikan perusahaan gula apong ke peringkat yang lebih global. Suhubungan itu, sesi perbincangan turut dijalankan bersama pihak koperasi bagi mencapai persetujuan rasmi untuk menyenaraikan pengusaha gula apong yang terdiri daripada ahli Koperasi Kariah Masjid Darul Ulum Kalok Betong Berhad sebagai peserta bagi GI Gula Apong Sarawak.