Lawatan ke Meteor Learning Sdn Bhd

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Multimedia Technology Enhancement Operations (Meteor) Learning Sdn Bhd, Prof. Madya. Dr Mohd Nazri Mohd Noor telah berbesar hati menerima kunjungan lapan (8) orang pensyarah daripada Pusat Pengajian Perakaunan UiTM Cawangan Pahang di pejabat beliau bertempat di tingkat 7, Block C, Kompleks Kelana Centre Point, Jalan SS 7/19, Ss 7,47301 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

Meteor mengendali Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang telah diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam dan pelbagai badan profesional. Mempunyai 55 program merangkumi pelbagai disiplin dalam Pendidikan, Perniagaan & Pengurusan, Teknologi & Sains Gunaan, dan Sains Sosial & Kemanusiaan. OUM dimiliki oleh konsortium 11 universiti awam di Malaysia iaitu Univeristi Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Malaysia Sarawak.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk menambah pengetahuan dan pengalaman 5 orang pensyarah baharu Pusat Pengajian Perakaunan UiTM Cawangan Pahang iaitu Arina Nabilah Abd Latif, Iliya Dayini Imran, Norlaily Asnawi Sulaiman, Norlinda Zainal Abdul dan Salehah Zafirah Zulkepli berkenaan konsortium yang disertai oleh UiTM, selain laluan kerjaya oleh seorang pensyarah untuk menuju satu tahap tertinggi.

Prof. Madya. Dr Mohd Nazri berpesan supaya kita semua perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah berikan seperti kesihatan yang baik, keluarga yang baik, dan rakan sekerja yang baik. Walau apapun situasi yang kita hadapi, kita hendaklah berfikiran positif dan tidak mengeluh dengan apa jua perkara yang tidak dapat kita lakukan dan sentiasa bersyukur dalam kehidupan seharian kita. Beliau sempat selitkan pesanan untuk sentiasa bersedia dan berani untuk menghadapi apa jua situasi dan persekitaran baru terutamanya bagi 5 orang pensyarah yang merupakan pensyarah baharu di UiTM. Beliau berpesan supaya sentiasa berusaha untuk perbaiki diri untuk menjadi lebih baik agar dapat memberi sumbangan tak ternilai kepada universiti.

Lawatan selama 40 minit ini diakhiri dengan pesanan supaya kita semua sentiasa berdisiplin. Ia adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan dan beliau juga turut menasihatkan supaya sentiasa menjaga hubungan dengan Allah S.W.T.