PUNCAK ALAM, 21 Jun 2024 – Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menerima lawatan delegasi dari Program Teknologi Laboratorium Medis, Fakultas Ilmu Kesehatan (FIKes), Universitas ‘Aisyiyah Yogyakarta (UNISA). Delegasi terdiri daripada Puan Dhewinta Anggita Sari, Koordinator Akademik dan Kurikulum dan Puan Dhiah Novalina, Pensyarah Program Universitas. Lawatan ini juga turut dihadiri oleh ahli akademik dan makmal Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan.
Lawatan dimulakan dengan kata alu-aluan dan pengenalan fakulti daripada Profesor Dr. Zulkhairi Amom, Dekan Fakulti Sains Kesihatan dan barisan pengurusan Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan. Objektif lawatan ini adalah untuk merancang peluang kolaborasi dan potensi kerjasama dua hala dalam bidang teknologi makmal perubatan. Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha UNISA, Yokyakarta untuk menggerakkan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang telah dimeterai pada 5 Januari 2023.
Dalam perbincangan dua hala tersebut, antara input yang dicapai adalah:
- Program Pertukaran (Jangka Masa Pendek)
- Pensyarah Jemputan
- Pertukaran Pelajar/ Pemindahan Kredit Antarabangsa
- Latihan Klinikal Pelajar
- Komuniti Servis
- Kolabarasi Penyelidikan dan Publikasi
Program diakhiri dengan lawatan ke makmal-makmal di Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan bagi berkongsi maklumat berkaitan dengan pengajaran dan penyelidikan.
FIKes, UNISA dan Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, FSK UiTM Cawangan Selangor berharap agar lawatan ini dapat memperkukuhkan hubungan dan membentuk satu kerjasama antarabangsa yang menyeluruh antara kedua-dua institusi. Ini seterusnya menjadi pemangkin untuk memajukan kualiti pendidikan serta penyelidikan dalam masa akan datang.