TAPAH, 6 Januari 2025 – Mahkamah Majistret Tapah menjadi lokasi pembelajaran kepada 36 pelajar Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah apabila mereka diberi peluang mendalami sistem perundangan melalui lawatan berinformatif yang berlangsung pada Isnin, 6 Januari 2025. Lawatan ini turut disertai oleh tiga jurulatih sebagai pegawai pengiring.
Aktiviti pagi menyaksikan para pelajar diberi peluang menyaksikan prosiding mahkamah secara langsung. Antara kes yang menarik perhatian adalah kes sebutan dan hukuman melibatkan kemalangan maut, kes trafik, keldai akaun, serta kes berkaitan dadah. Pengalaman ini memberikan pengalaman baharu kepada pelajar terutama tentang bagaimana undang-undang dilaksanakan dan keadilan ditegakkan.
Setelah selesai sesi prosiding, Majistret Puan Anis Zainab binti Pawanteh pula menyampaikan ceramah dan perkongsian beliau mengenai pentingnya integriti dalam sistem perundangan selain memberi nasihat yang sangat berguna kepada para pelajar. Lawatan ini turut diperkaya dengan sesi penerangan daripada jurubahasa mahkamah dan Timbalan Pendakwa Raya, yang menjelaskan peranan mereka dalam memastikan perjalanan mahkamah berjalan lancar.
Para pelajar juga berpeluang melawat lokap mahkamah, kamar Majistret, bilik perbincangan, dan kawasan sekitar mahkamah. Setiap lawatan ke ruang ini membuka mata pelajar terhadap proses di sebalik tabir operasi harian mahkamah, menjadikan pengalaman mereka lebih bermakna.
Tuntasnya, program seperti ini diharapkan dapat melahirkan graduan UiTM yang bukan sahaja berilmu tetapi juga beretika tinggi, sekaligus menjadi agen perubahan dalam memerangi rasuah di Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak Mahkamah Majistret Tapah kerana menerima kunjungan daripada pihak UiTM Tapah.
Penulis bersama: Cik Haslinawati binti Che Hasan, dan ASP Anuar bin Kassim.