Lawatan Akademik “Sustainable Tourism Management” Mahasiswa Fakulti Pengurusan Hotel Dan Pelancongan (FPHP) Ke Malang – Bromo Indonesia

Bromo, Indonesia, 1-4 November 2024 – Satu lawatan akademik bertemakan “Sustainable Tourism Management” telah berjaya dilaksanakan di Bromo, Indonesia. Program ini melibatkan seramai 30 orang pelajar Semester 5 Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Pelancongan, (HM241 5B) dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, dengan bimbingan pensyarah Dr Khairun Najiah Ahmad.

Lawatan ini dirangka untuk memenuhi keperluan subjek Sustainable Tourism Management melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi di lokasi pelancongan utama sekitar Malang dan Bromo. Program ini juga menyokong agenda SDG 17: Partnerships for the Goals dan GRU2025, termasuk inisiatif Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bersama mahasiswa Universitas Muhammadiyah Malang (UMM). Aktiviti ini memperkasakan perkongsian ilmu dan budaya  diantara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia.

Pelajar turut terlibat dalam program University Social Responsibility (USR) di Kampung Warna Warni, yang menyokong SDG 11: Sustainable Cities and Communities. Aktiviti bersama komuniti termasuk pertandingan memasak makanan tradisional, yang dianjurkan oleh golongan wanita kampung tersebut, sejajar dengan SDG 5: Gender Equality. Di samping itu, pelajar FPHP mengambil inisiatif membersihkan kawasan sekitar Kampung Warna Warni, menyumbang kepada usaha kelestarian kawasan komuniti.

Sesi perkongsian pengetahuan juga diadakan bersama wakil dari Jawa Timur (JATIM) Park, yang membincangkan isu-isu berkaitan pelancongan mampan di kawasan itu. Selain itu, dialog interaktif diadakan dengan wakil industri dari Bromo – East Java Freelance Tourist Guide, membincangkan cabaran dan peluang dalam pengurusan pelancongan lestari.

Kemuncak program ini adalah lawatan tapak dan pemerhatian secara langsung terhadap isu-isu pelancongan mampan di kawasan Pergunungan Bromo, yang merupakan sebahagian daripada Taman Negara Bromo Tengger Semeru.

Melalui pengalaman pembelajaran dalam persekitaran dunia sebenar ini, yang menyokong matlamat SDG 4: Quality Education, diharapkan program ini dapat mencipta sinergi baharu dan membuka peluang kerjasama strategik antara universiti dan pelbagai pemegang taruh. Ini sekaligus berpotensi memberikan manfaat besar kepada para pelajar dan universiti pada masa hadapan.

Disediakan oleh: Khairun Najiah Ahmad