Lawatan Akademik Subjek Pengurusan Pengeluaran (MGT556) ke Aqualight Agrofarm

Pada 22 April 2024, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Perniagaantani (Kepujian), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Melaka, Kampus Jasin telah menganjurkan sebuah lawatan akademik di bawah subjek Pengurusan Pengeluaran (MGT556). Penasihat program dan juga pensyarah subjek ini ialah Dr Saida Farhanah Sarkam dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Melaka. Lokasi lawatan akademik ini ialah di Aqualight Agrofarm yang terletak di Tanjong Ipoh, Negeri Sembilan.

Aqualight Agrofarm telah dibangunkan dan diusahakan oleh seorang anak muda bercita-cita tinggi, yang juga alumni Diploma Pengurusan Ladang (AT110) iaitu Tuan Mohd Iqbal Noramlan. Beliau mula menceburkan diri dalam bidang penternakan dan pertanian sewaktu dalam pengajian diploma beliau lagi.

Aqualight Agrofarm adalah sebuah syarikat yang berfokus pada aktiviti penternakan dan penjualan produk sejuk beku yang dibuat daripada ikan keli, tilapia, dan ayam kampung. Selain itu, mereka juga menyediakan produk seperti mikroorganisma efektif (EM) untuk pembuatan baja dan baja larutan ikan. Dalam program lawatan ke Aqualight Agrofarm, pelajar telah diberikan kesempatan untuk melihat sendiri bagaimana syarikat ini menjalankan penjagaan ternakan ikan mereka. Mereka dapat melihat proses penternakan ayam kampung, proses pemeliharaan ikan, pengawasan kualiti air, dan pengendalian makanan ikan.

Tuan Iqbal, 27, sebagai pemilik Agrolight Aquafarm telah membentangkan mengenai pengendalian operasi harian syarikat termasuk pengurusan stok, pengawasan kesihatan haiwan, dan isu-isu serta penyelesaian yang pernah dialami oleh syarikat beliau. Dalam sesi lawatan ini, para pelajar telah didedahkan mengenai konsep-konsep di dalam pengurusan pengeluaran di ladang. Sesi ini dapat memperkukuh kefahaman para pelajar mengenai subjek ini yang telah dipelajari di dalam kelas. Tuan Iqbal juga berkongsi suka duka pengalaman beliau menjadi seorang usahawan tani muda selama enam tahun.

Diharap para pelajar yang mengikuti lawatan ini dapat mengambil manfaat daripada perkongsian Tuan Iqbal dan diaplikasikan di dalam kehidupan mereka sepanjang pengajian di kampus. Semoga UiTM dapat melahirkan lebih ramai “Tuan Iqbal” pada masa hadapan selari dengan aspirasi kerajaan untuk memantapkan ekonomi dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan.