22- 27 April 2024 – Bagi memenuhi keperluan silibus Kod Kursus TPS652: Comparative Planning System setiap semester satu lawatan akademik peringkat antarabangsa perlu dilakukan. Kod kursus ini merupakan kod semester akhir iaitu semester 08 pelajar Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (Kepujian) AP221.
Pada semester Mac-Ogos 2024, perjalanan kali ini hanyalah satu destinasi sahaja iaitu ke Jakarta – Bogor – Bandung, Indonesia pada 22 – 27 April 2024. Perjalanan ini menggabungkan pelajar-pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar iaitu seramai 18 orang dan UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam juga seramai 18 orang. Pensyarah Pengiring yang terlibat iaitu Gs Dr. Hjh Norainah Abdul Rahman, Pensyarah Kanan daripada UiTM Cawangan Perak manakala TPr. Dr. Siti Kartina Juhari, Pensayarah Kanan UiTM Cawangan Selangor. Pihak kami menggunakan perkhidmatan Agen Pelancongan Ideal Muslim Travel Venture Sdn. Bhd. bagi semua urusan sebelum berlepas dan sepanjang berada di sana.
Perjalanan kami dari UiTM Cawangan Perak bermula pada 10.00 malam 22 April 2024 ke KLIA 1 menaiki bas UiTM. Check-in bagasi pada pukul 7.00 pagi dan waktu penerbangan pada 23 April 2024 pukul 9.20 pagi. Penerbangan tiba dengan selamat seperti dirancangkan iaitu pada 23 April 2024 pukul 10.25 pagi waktu tempatan Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno, Jakarta Indonesia, Terminal 2.
Agenda utama ialah Program Mobiliti Pelajar bagi Lawatan Akademik dan Jaringan Antarabangsa, Pengajaran Kolaborasi serta tandatangan MoA di Fakultas Teknik Universitas Pakuan, Bogor, Indonesia. Rombongan kami disambut meriah oleh Dekan Fakultas Teknik Universitas Pakuan, Ir. Singgih Irianto, M.Si, Wakil Dekan Fakultas Teknik, Dr. Ir. Janthy Trilusianthy Hidayat, Msi, Ketua Prodi PWK: Dr. Ir. Lilis Sri Mulyawati, M.Si. serta ramai lagi pensyarah dan pelajar-pelajar Fakultas Teknik Program Studi Perencanaan Wilayah Dan Kota (PWK). Rombongan kami dijamu dengan makan siang yang agak lewat pada pukul 2.00 petang. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan ucapan balas di kedua-dua belah pihak serta diikuti dengan tanda tangan dokumen Memorandum of Agreement (MoA). Tanda tangan MoA ini merupakan kesinambungan aktiviti daripada Memorandum of Understanding (MoU) antara UiTM dengan Universitas Pakuan, Bogor, Indonesia bagi tujuan aktiviti Planning Student Assemble (PSA) yang akan diadakan pada tahun 2025 yang akan diadakan di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam.
Selepas acara menandatangani dokumen MoA, program diteruskan dengan aktiviti pengajaran kolaborasi di Fakultas Teknik Program Studi Perencanaan Wilayah Dan Kota (PWK), Universitas Pakuan Bogor.
Selepas selesai acara di Fakultas Teknik, Universitas Pakuan Bogor, rombongan terus ke Kota Bandung menginap di Green Batara Hotel Bandung selama 3 malam. Aktiviti di Kota Bandung berkaitan kajian perbandingan pentadbiran serta perancangan kawasan-kawasan pelancongan yang bertaraf antarabangsa.
Kajian perbandingan kawasan rekreasi dan pelancongan antarabangsa telah dilakukan di sekitar Kota Bandung, iaitu di The Lodge Woodland Maribaya, Floating Market Lembang, Kawah Reganis Cibuni dan Glamping Lakeside Rancabali.
Hari terakhir bergerak pulang. Terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno, Jakarta Indonesia selama 8 jam kerana 2 kali jadual penerbangan ditunda. Peserta selamat tiba di KLIA 1 pada 27 April 2024 pada pukul 4.30 pagi waktu Malaysia.