Lawatan Akademik Pensyarah Bahasa Arab Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Perlis Ke Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)

Arau, 29 Mac 2024 – Unit Bahasa Arab Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Perlis telah menerima jemputan ke Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bagi membincangkan hal ehwal akademik APB yang diketuai oleh Dr Ummi Syarah Ismail bersama para pensyarah dan pengiring yang terdiri daripada Dr Nadhilah Abd Pisal, Dr Kasmawati Zakaria, dan Puan Afifah Azmi dan juga pelajar latihan industri iaitu Nuramira Sari Ahmad @ Masjuri.

Manakala Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) diwakili oleh Prof. Madya Dr. Abdul Basir bin Awang @ Mohd Ramli selaku Timbalan Rektor Akademik Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), En. Muthi’ul Ul Haqq bin Fatah Yasin Dekan Akademik Fakulti Pengajian Islam dan Puan Nur Afifah binti Fadzil Timbalan Dekan Akademik Fakulti Al-Quran dan Sunnah.

Objektif lawatan akademik diadakan bertujuan untuk membincangkan hal ehwal akademik bagi kedua-dua institusi, dan memberi pendedahan tentang akademik di Akademi Pengajian Bahasa UiTM dan KUIPs. Selain itu, objektif lawatan akademik diadakan untuk membuat promosi program-program di UiTM Cawangan Perlis dan KUIPs.

Dalam perbincangan dua hala antara UITM dan KUIPs, antara input yang dicapai ialah:

  • Kolaborasi geran penyelidikan.
  • Konferensi antarabangsa International Conference on Islamic Contemporary and Management 2024 (ICICM2024).
  • Penggunaan bahasa ketiga di KUIPs.
  • Pelaksanaan bengkel bagi geran FRGS.

Secara kesimpulannya, pihak Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis amat berterima kasih kepada Timbalan Rektor Akademik Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) selaku pengerusi atas jemputan bagi sesi lawatan akademik tersebut. Diharapkan hubungan kerjasama seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha menyokong pembangunan pakar bidang di kedua-dua buah institusi pengajian tinggi berkenaan.