Pada 5 Jun 2024, para pelajar yang mengambil kursus HTT680 (Sustainable Tourism Management) dan HTH367 (Hospitality Sales and Marketing) telah mengadakan lawatan akademik ke Pulau Manukan, yang terletak di Taman Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu, Sabah. Lawatan ini merupakan salah satu keperluan silibus untuk kedua-dua kursus tersebut, yang bertujuan untuk memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung dalam persekitaran yang sebenar.
Lawatan ini melibatkan tiga orang pensyarah dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu serta tiga puluh orang pelajar daripada kursus HTT680 dan enam orang pelajar daripada kursus HTH367. Penyertaan dan penglibatan dalam lawatan ini juga turut melibatkan dua orang pensyarah dan enam belas orang pelajar dari School of Hotel and Tourism Management, Hong Kong Polytechnic University. Antara objektif lawatan akademik ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka salah satu pusat pelancongan lestari di Sabah secara “First-hand“, membina pengetahuan secara mendalam teori dan praktikal mengenai pengurusan pelancongan lestari dan pemasaran, dan membina hubungan industri antara Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Cawangan Sabah dengan Taman-Taman Sabah.
Pulau Manukan sebagai pilihan destinasi lawatan akademik kerana ianya terkenal dengan keindahan pulau serta pantainya yang bersih, air lautnya yang jernih, menjadikannya destinasi yang ideal untuk lawatan akademik berkaitan dengan pelancongan lestari. Penganjuran lawatan akademik ini, para pelajar akan berpeluang mempelajari pengurusan destinasi pelancongan, konservasi alam sekitar, serta interaksi dengan komuniti tempatan dan pengusaha yang terlibat dalam industri pelancongan. Semua aktiviti ini diatur untuk memenuhi keperluan silibus kursus HTT680 dan HTH367, yang menekankan kepada pembelajaran praktikal dan pengalaman industri sebenar. Dengan penyertaan dalam lawatan ini, para pelajar diharapkan dapat mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kelas kepada situasi sebenar di lapangan, serta memahami cabaran dan peluang yang ada dalam industri pelancongan dan hospitaliti. Lawatan ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan, yang amat penting dalam kerjaya masa depan mereka.
Aktiviti yang dirancang sepanjang lawatan termasuk sesi taklimat oleh Penolong Pengurus Taman, Puan Syaffikah Nabillah binti Sukur, tentang sejarah Pulau Manukan dan peranan Taman-Taman Sabah dalam pewartaan Taman Tunku Abdul Rahman, pengurusan, operasi dan penjagaan, ekopelancongan, pengurusan pelancongan lestari dan pemasaran. Beliau juga berkongsi tentang produk-produk berasaskan pelancongan dan bukan pelancongan yang ditawarkan di Pulau Manukan (dan sekitarnya).
Dalam lawatan akademik ini, kami turut melaksanakan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR). Program ini bertujuan untuk memberikan sumbangan tenaga dalam penyelenggaraan taman. Antara program CSR yang telah dilaksanakan adalah penanaman pokok, pembersihan pantai dan mengecat papan tanda dan sebagainya. Aktiviti CSR ini bertujuan untuk memberikan pengalaman bermakna kepada para pelajar dalam memupuk semangat tanggungjawab sosial dalam kalangan mereka, serta memupuk dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Kesimpulannya, lawatan akademik ke Pulau Manukan pada 5 Jun 2024 adalah satu langkah penting dalam proses pembelajaran para pelajar yang mengambil kursus HTT680 dan HTH367. Ia bukan sahaja memperkukuh pengetahuan akademik mereka, tetapi juga memberikan pengalaman berharga yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah. Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara praktikal tentang pengurusan pelancongan dan hospitaliti, tetapi juga membina hubungan antarabangsa melalui kerjasama dengan institusi luar negara.