Lawatan Akademik Ke Muzium Bank Negara Dan Ajinamoto Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Disember 2024 – Seramai 32 pelajar semester dua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah mengadakan lawatan akademik ke Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia serta Ajinomoto (Malaysia) Berhad.

Lawatan yang melibatkan pelajar kumpulan BA262 2A dan BA262 2B ini merupakan sebahagian daripada aktiviti wajib untuk kursus BTM454 – Pengurusan Teknologi. Program ini bertujuan memenuhi keperluan silibus dengan memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar.

Pemilihan dua organisasi berpengalaman ini membolehkan pelajar menerokai sains dan teknologi terkini, selain memahami operasi perniagaan kedua-dua organisasi. Lawatan tersebut turut selari dengan matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) yang menyokong usaha meningkatkan kualiti pembelajaran.

Pelajar turut mendapat pendedahan mendalam mengenai aspek pengurusan teknologi dan aplikasi teknologi terkini di Malaysia. Aktiviti ini diharap dapat membantu mereka mempraktikkan ilmu yang dipelajari serta memahami cabaran dan peluang dalam sektor perniagaan dan teknologi.

Lawatan ini memberi impak positif kepada pembangunan kemahiran pelajar dalam bidang pengurusan teknologi dan dijangka terus menjadi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran mereka.