Pada 14 May 2024, tiga pensyarah kanan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi iaitu Dr Shampazuraini Samsuri, Dr Noer Hartini Dolhaji dan Ts Dr Mohd Khairy Zahari beserta 15 pelajar telah berpeluang melawat FAMA di Cameron Highlands, sebuah kawasan yang terkenal dengan tanah tinggi dan iklim sejuk yang sesuai untuk pertanian. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta berkaitan teknologi pertanian moden dan juga bagaimana hasil-hasil pertanian dipasarkan dan diuruskan secara professional di Cameron Highlands.
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat yang diberikan oleh Encik Afzamry Nur bin Mohamed, Pegawai FAMA Daerah Cameron Highlands mengenai sejarah dan fungsi FAMA. FAMA memainkan peranan penting dalam memastikan hasil pertanian tempatan dipasarkan dengan berkesan, serta membantu petani-petani meningkatkan kualiti produk mereka. Selepas taklimat, peserta berpeluang melihat pusat pengumpulan dan penggredan hasil pertanian. Terdapat Pusat Penggredan Tomato dan peserta melihat sendiri bagaimana teknologi lepas tuai tomato yang ada di sini. Ia bagi memastikan hanya produk berkualiti tinggi yang sampai ke tangan pengguna dan bagaimana ia membantu mengekalkan kepercayaan pengguna terhadap produk tempatan. Teknologi ini bukan sahaja membantu meningkatkan produktiviti, tetapi juga memastikan penggunaan sumber yang lebih efisien dan mesra alam.
Di akhir lawatan, peserta diberi peluang untuk berdialog dengan beberapa petani dan pegawai FAMA. Mereka berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi dalam industri pertanian kini. Peserta juga belajar tentang pelbagai program sokongan yang disediakan oleh FAMA untuk membantu petani, termasuk latihan, bantuan teknikal, dan kemudahan pemasaran.
Kesimpulannya, lawatan ke FAMA Cameron Highlands adalah satu pengalaman yang sangat berharga. Ia bukan sahaja memberi peserta pengetahuan mendalam tentang sektor pertanian dan pemasaran hasil tani, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang pentingnya sokongan kepada petani tempatan. Melalui usaha gigih FAMA dan petani-petani, rakyat dapat menikmati hasil tani yang segar dan berkualiti. Lawatan ini memberi inspirasi kepada peserta untuk lebih menghargai dan menyokong industri pertanian tempatan.