SELANGOR, 18 Disember 2024 – Seramai 47 pelajar bahagian 2, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah mengadakan lawatan akademik ke dua organisasi terkemuka di Selangor.
Pelajar daripada kumpulan BA262 2C dan BA262 2D ini menjalankan aktiviti tersebut sebagai sebahagian daripada keperluan kursus BTM454 – Pengurusan Teknologi. Lawatan ke AlphaSwift Industries Sdn. Bhd. dan HelloWorld Robotics Sdn. Bhd. bertujuan memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai teknologi terkini serta pengurusan dalam organisasi.
Menurut jurucakap program, lawatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan dan bagaimana organisasi berikut berkembang dari permulaan kecil sehingga menjadi tarikan utama industri. Aktiviti ini juga menyokong matlamat Sustainable Development Goal (Goal 4: Quality Education) dengan meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar melalui pengalaman langsung.
Pelajar turut mendapat maklumat tentang pendekatan pengurusan teknologi yang diterapkan oleh kedua-dua syarikat, selain memahami proses perniagaan yang inovatif. Lawatan ini diharapkan dapat memperluaskan pemahaman pelajar mengenai teknologi-teknologi terkini, khususnya di Malaysia.