8 Ogos 2024, UiTM Shah Alam – Satu lawatan rasmi ke Arkib UiTM Shah Alam telah diadakan sebagai langkah awal untuk mewujudkan kerjasama erat antara Pusat Kokurikulum, BHEP UiTM dan Unit Arkib UiTM. Lawatan ini bertujuan untuk mendokumentasikan sejarah serta bahan-bahan penting berkaitan Pusat Kokurikulum sebagai usaha memelihara dan mempromosikan warisan berharga institusi.
Cadangan ini diilhamkan oleh YBhg Profesor Dr. Hj Mohd Sazili Bin Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP), dan disambut baik oleh Pusat Kokurikulum yang diketuai oleh Puan Nooraidah Mokhtar, Pegawai Latihan. Inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar UiTM lebih mengenali sejarah dan perkembangan penting Pusat Kokurikulum, yang merupakan salah satu keutamaan BHEP UiTM.
YBhg Ts Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, bersama Ketua-ketua Unit Kokurikulum UiTM dari seluruh negara turut hadir, menandakan komitmen penuh terhadap usaha ini. Kerjasama ini bertujuan memperkukuh penghayatan sejarah dan warisan Pusat Kokurikulum dalam kalangan pelajar UiTM, memberi mereka peluang untuk lebih memahami perkembangan penting dalam kokurikulum universiti, serta pengaruhnya terhadap pendidikan dan pembangunan sahsiah.
Dengan arkib yang teratur, inisiatif ini dijangka memberikan manfaat besar kepada UiTM, bukan sahaja dalam mendidik pelajar tentang kepentingan kokurikulum, tetapi juga dalam memelihara dan menghargai sejarah institusi sebagai asas kepada pencapaian masa depan.
Penulis : Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi , Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Bin Jono
Penulis Bersama : Nooraidah Mokhtar, Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abg Rahman