18 Mei 2024 – Satu Surat Hasrat (LOI) telah ditandatangani di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang dan Universitas Halu Oleo, Indonesia untuk memupuk kerjasama antara ahli akademik dalam berkongsi maklumat dan kemahiran. LOI ini diadakan bagi menggariskan persefahaman antara dua pihak yang berhasrat untuk diformalkan dalam perjanjian yang mengikat secara sah. Selain itu, perkongsian ini berusaha untuk meningkatkan kepakaran dan keupayaan pendidikan dalam kalangan pensyarah dan pelajar sambil meneroka peluang kerjasama yang lain.
LOI ini telah ditandatangani oleh Prof. Madya Dr. Nazirah Ramli ,Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan disaksikan oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri) Menjalankan Fungsi Rektor bagi mewakili UiTM Cawangan Pahang manakala bagi pihak Universitas Halu Oleo, Indonesia, Dr. Lies Indriyani, Dekan Fakultas Kehutanan dan Ilmu Lingkungan Universitas Halu Oleo, Indonesia telah menandatangani serta disaksikan oleh Dr. Niken Pujirahayu, Timbalan Dekan Bidang Akademik dan Kerja Sama, Fakultas Kehutanan dan Ilmu Lingkungan Universitas Halu Oleo, Indonesia . Surat Hasrat ini dijalankan seiring dengan Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa antara UiTM Cawangan Pahang dan Halu Oleo Universiti.
Semoga kerjasama ini dapat dimeterai dengan rasminya agar segala perancangan kolaborasi, kajian dan penyelidikan dapat memberikan sumbangan dan manfaat kepada kedua- dua negara.