KAMPUNG GAJAH, 22-24 Januari 2024 – Unit Perancangan Strategik & Transformasi Universiti, UiTM Cawangan Pahang (UCPh) telah meneruskan usaha untuk memantapkan lagi pelan tindakan strategik dengan mengadakan Bengkel Pemurnian Perancangan Strategik 2024 bagi mengenalpasti strategi terbaik dan merapatkan lagi hubungan antara pemilik Petunjuk Prestasi (PI) di kalangan Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan pelaksana. Bengkel selama tiga hari dua malam ini diadakan di Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) Perak dan diketuai oleh Prof. Madya. Dr. Nor Azizah Binti M. Yacob, Penyelaras Strategik dan Transformasi Universiti yang melibatkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN), Prof/Prof Madya, Ketua Pusat Pengajian (KPP), Ketua/Wakil Bahagian, AJK PI PTJ dan juga AJK PI Fakulti. Objektif utama bengkel ini adalah untuk memurnikan penyediaan pelan tindakan strategik setiap PTJ dan fakulti dengan mengadakan pembentangan dan perbincangan bagi mencapai 76 petunjuk prestasi yang diberikan kepada UCPh.
Bagi mencapai 6 teras utama tema Globally Renowned University 2025 (GRU 2025) yang telah digariskan oleh UiTM, pelbagai inisiatif antarabangsa telah dirancang oleh peserta bengkel untuk dilaksanakan pada tahun 2024. Buat julung-julung kalinya, semua pensyarah yang berstatus Profesor dan Prof. Madya diberi tanggungjawab untuk membantu UCPh memetakan aktiviti-aktiviti yang dirancang ke arah tema Globally Respected University yang dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Azmi Nias Ahmad. Selain itu, UCPh juga komited untuk menyediakan peluang menyambung pengajian dan penyelidikan merentas pelbagai bidang bersama pakar-pakar bertaraf dunia serta perkongsian strategik dengan syarikat dan organisasi terkemuka di seluruh dunia. Inisiatif ini dirancang untuk memastikan semua staf akademik, staf bukan akademik, staf sokongan, pelajar dan alumni mendapat manfaat daripada hubungan antarabangsa ini bagi mencapai tema bagi memperoleh pengalaman praktikal dan meningkatkan kepakaran mereka dalam mencapai Globally Respected University 2024.
Bengkel ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Saharani Abdul Rashid, Penolong Rektor Kampus Raub dan seterusnya taklimat program oleh Prof. Madya. Dr. Nor Azizah M. Yacob, Penyelaras Strategik dan Transformasi Universiti (PSTU). Bagi mengeratkan lagi ukhuwah dan merehatkan minda, beberapa permainan santai dan senaman ringkas yang diketuai Dr. Mohd Safwan Ramli, Ketua Unit Kualiti UCPh dan Dr. Norlaila Azura Kosni, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi telah dijalankan pada petang hari pertama dan kedua bengkel antaranya mencipta tagline bersama ahli kumpulan yang dipilih secara rawak dengan menggunakan tema petunjuk prestasi serta permainan telinga karat.
Sesi pembentangan pelan tindakan strategik dan soal jawab yang pertama dimulakan pada waktu malam oleh pemilik PI UCPh yang terdiri daripada Bendahari, Pendaftar, Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF), Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (BPJI), Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan disambung lagi pada pagi hari kedua. Bengkel ini diteruskan dengan sesi perbincangan antara Pusat Pengajian dan pemilik PI sehingga waktu tengahari. Manakala di sebelah petang pula setiap Ketua Pusat Pengajian/wakil membuat pembentangan pelan tindakan strategik dan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan oleh bahagian masing-masing dengan pemantauan oleh pemilik PI. Pembentangan Ketua Pusat Pengajian ini disambung pula pada sesi malam. Pelbagai aktiviti dirancang oleh setiap Bahagian dan Pusat Pengajian untuk memenuhi keperluan PI yang diberikan termasuk yang melibatkan staf akademik, staf bukan akademik dan juga pelajar.
Setiap Pusat Pengajian menerima antara 33 – 46 PI yang perlu dilaksanakan. Daripada 76 PI, Fakulti Perakaunan (FPN) telah diperturunkan sebanyak 42 PI pada tahun 2024. Antara pelan tindakan strategik yang dirangkakan semasa bengkel adalah untuk mengadakan jalinan antarabangsa bersama United Arab Emirates University (UAEU) yang merupakan Top 300 QS World Ranking International University dan Politeknik Ubaya, Indonesia. Diharapkan jalinan antarabangsa ini dapat meningkatkan lagi kerjasama program antarabangsa seperti pertukaran pelajar dan staf, penerbitan bersama dalam kalangan staf dan penglibatan aktiviti pelajar yang akan memenuhi PI Number of MoU/ MoA with Top 300 QS World University Ranking International universities (PI082), Number of international programmes/ activities for active MoU/ MoA for the current year (PI084) dan Number of students participated in International programme organized by partner university/ industry/ institution (PI032). Selain itu, FPN turut merangka kerjasama dengan syarikat industri antarabangsa iaitu Easy Al-Quran Training and Learning Centre, Brunei. Ianya sejajar dengan sasaran PI Number of new MoU and MoA with International Industries (PI072) dan Number of activities under MoA/ MoU with International Industries (PI074).
Ahli FPN juga terus komited bagi mencapai sasaran PI penerbitan di jurnal terindeks dengan mengatur strategi antara ahli fakulti. Seterusnya, FPN juga akan berusaha mendapatkan geran penyelidikan melalui kerjasama industri di peringkat kebangsaan sehingga ke peringkat antarabangsa bagi memenuhi sasaran PI Number of principal investigator (PI) for research grants: National funded (PI061) sehingga PI Total amount of research grants: International funded (PI066). Aktiviti tahunan fakulti untuk University Social Responsibility (USR) bagi memenuhi PI Number of University Social Responsibility programmes (USR) (PI075) sehingga PI Number of communities receiving/ benefiting from the knowledge/technology diffusion projects (PI079) akan terus dijalankan melalui Webinar ‘Rahsia Jimat Cukai’ dan Khidmat Kaunter e-filing di Kampus Jengka dan Raub pada bulan Mac ini. Program ini adalah kerjasama antara FPN dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Lokaliti Kuantan yang akan dihadiri oleh staf akademik, staf bukan akademik, komuniti luar dan alumni.
Bagi memberi peluang setiap Ketua Pusat Pengajian berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi dalam proses memenuhi sasaran PI, satu slot perkongsian yang diwakili oleh Prof Madya Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad yang juga mantan Ketua Pusat Pengajian FPN telah dibuat pada hari terakhir. Antara isu yang dikemukakan adalah pencapaian sedia ada UCPh di peringkat dunia, kebajikan staf, agihan PI mengikut beban tugas akademik, perlunya penglibatan semua warga dalam mencapai sasaran PI, pemberian penghargaan yang sesuai kepada yang terlibat, kepentingan staf menjaga kesihatan serta beberapa isu lain yang dikemukakan yang memerlukan perhatian dan tindakan daripada pihak pengurusan tertinggi dan juga PSTU untuk mengurangkan beban staf dalam memenuhi keperluan PI.
Seterusnya setiap ahli JKEN turut berkongsi amalan terbaik dan cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan. Rumusan bengkel juga dibentangkan oleh Prof Madya Dr Nor Azizah M. Yacob, PSTU dan bengkel ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri) yang Menjalankan Fungsi Rektor. Beliau menyampaikan amanat supaya semua warga UCPh untuk terus berusaha mencapai sasaran PI yang telah ditetapkan bagi menggapai matlamat UiTM menuju ‘Globally Respected University 2024’ seterusnya ‘Globally Renowned University 2025’. Beliau juga menekankan kepada semua warga UCPh untuk terus komited dalam meningkatkan jumlah penerbitan dan meluaskan jaringan kerjasama dengan industri serta antarabangsa.
Secara keseluruhannya, objektif Bengkel Pemurnian Perancangan Strategik 2024 yang telah dijalankan telah tercapai dengan jayanya. Bengkel ini telah berjaya menghasilkan 14 projek pelan tindakan strategik yang perlu dilaksanakan yang mana BHEA telah menghasilkan 3 projek pelan tindakan strategik, 3 projek oleh BHEP, 4 projek oleh BPJI, 2 projek oleh Pendaftar, 1 projek oleh Bendahari dan 1 projek oleh BPF. Semoga warga UCPh terus berusaha dan bekerjasama dalam mengemaskini perancangan dan melaksanakan aktiviti- aktiviti yang telah dirancang dalam menggerakkan pelan hala tuju ke arah ‘Globally Respected University 2024’ seterusnya ‘Globally Renowned University 2025’. Di samping itu, semua warga UCPh juga perlu mengekalkan keseimbangan antara kerja dan gaya hidup sihat bagi memastikan semua warga UCPh dapat memberikan prestasi kerja yang baik.