La Kitty Cafe, buat peminat tegar Hello Kitty

PENYELIA La Kitty Cafe, Norma Mat Noh. – Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Bagi peminat tegar animasi Hello Kitty pastinya teruja apabila melangkah masuk ke sebuah kafe yang didekorasikan sepenuhnya bertemakan kartun dari Jepun itu di Jalan Sultanah Zainab, di sini.

La Kitty Cafe, dibuka sejak Januari lalu menyediakan kelainan buat pelanggan apabila menjadi kafe pertama di Kelantan bertemakan animasi yang diminati ramai selain menyediakan lebih 30 menu memikat selera.

Penyelianya, Norma Mat Noh, 22, berkata konsep terbabit adalah idea asal pemilik kafe, Lam Kok Haur, 29, seorang doktor di Lundu, Sarawak yang sebelum ini bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Krian, dekat sini.

Katanya, selain dapat menikmati juadah enak dengan variasi menu masakan panas dan Western, pelanggan dapat merasai suasana ceria dan bersahaja dikelilingi Hello Kitty di setiap sudut kafe.

“Kafe ini juga menyediakan pelbagai pilihan minuman panas atau sejuk yang disediakan bersama aiskrim. Biasanya aneka kopi seperti Hazelnut, Mocca dan Cappucino menjadi tarikan pelanggan di sini.

“Selain itu, makanan yang paling digemari pelanggan kami ialah Tomyam Krabi dan Buttermilk yang mana menu ini pernah dibawa pemilik kafe ke pertandingan Cambodia Iron Chef dan memenangi tempat kedua.

NORMA Mat Noh menunjukkan makanan yang disediakan di La Kitty Cafe. – Foto Nik Abdullah Nik Omar

“Kafe ini bertemakan animasi Hello Kitty yang bukan sahaja menarik minat golongan kanak-kanak malah dari pelbagai peringkat umur memandangkan ianya antara kartun yang dikenali ramai,” katanya yang juga pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang.

Norma berkata, selain menggunakan logo Hello Kitty sebagai lambang utama kafe itu, dekorasi serta peralatan termasuk meja, pinggan dan bekas tisu juga menggunakan watak kartun terbabit.

“La Kitty Cafe turut menerima tempahan untuk mengadakan majlis seperti sambutan hari lahir dengan pakej semurah RM50 hingga RM200.

“Malah, cenderehati serta persiapan akan disediakan sepenuhnya oleh kakitangan kafe terbabit.

“Kafe ini dibuka pada setiap hari bermula jam 4 petang hingga 11 malam. Alhamdulillah, kafe ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai peringkat umur,” katanya.

Oleh Syaherah Mustafa (bhkb@bh.com.my)

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/12/361928/la-kitty-cafe-buat-peminat-tegar-hello-kitty

0
0